Pages

Saturday, October 30, 2010

Penunggang maut, motosikal terbakar


KEADAAN motosikal Lim (gambar kecil) selepas dirempuh rakan di Jelapang, Ipoh, semalam.
KEADAAN motosikal Lim (gambar kecil) selepas dirempuh rakan di Jelapang, Ipoh, semalam.

Kemalangan babit lori bawa jagung, kuih pau

IPOH: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikalnya terbakar dirempuh rakannya di Kilometer 262 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara ketika berkonvoi menuju ke Betong, Thailand, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Robert Lim Boon Huat, 52, dari Jalan Desa Utama, Taman Desa, Kuala Lumpur, maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di beberapa anggota dalaman.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke sempadan di Pengkalan Hulu bersama tujuh rakan penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata kemalangan berlaku membabitkan dua penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis BMW dengan sebuah lori bermuatan jagung dan kuih pau dari arah sama yang menggunakan laluan tiga lorong.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori terbabit mengubah haluan dari laluan tengah ke lorong laju dan mangsa yang menunggang laju dikatakan cuba memotong lori itu sebelum bergesel serta terlanggar cermin sisi kanan lori sehingga terjatuh.

“Pada masa sama, seorang dari rakan mangsa dikenali sebagai Cheng Ten Siong, 38, dari Puchong yang berada di belakang gagal mengelak menyebabkan motosikalnya merempuh kuat mangsa sehingga kedua-dua kenderaan itu terbakar hangus,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan dalaman serius, manakala Ten Siong dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan Ten Siong hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama. Sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.bharian

No comments: