Laporan dari Yogyakarta, Indonesia oleh Syed Azwan Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/10/30
Tiada tanda gunung berapi paling aktif kembali 'tenang' YOGYAKARTA: Lebih 20,000 penduduk sekitar Gunung Merapi termasuk 10,000 yang ditempatkan di tujuh kawasan pemindahan sementara dalam radius 20 kilometer (km) dari gunung berapi yang meletuskan asap dan debu lahar sejak Selasa lalu, akan dipindahkan jika situasi bertambah teruk.
Sehingga petang semalam, tiada tanda gunung berapi paling aktif di dunia berusia 400,000 tahun itu kembali ‘tenang’.Malah sejak pagi semalam, ia meletuskan ‘wedhus gembel’ atau awan panas yang mengarah ke barat dan utara, menyebabkan ribuan penduduk di kawasan itu termasuk 5,000 penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Umbulharjo, kira-kira tujuh kilometer dari Merapi, resah dan bimbang.
Letusan gunung berapi semalam turut disusuli dengan gempa bumi berskala 3.2 skala ritcher.
Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat (SAR) Nasional, Rochmali, 48, berkata status hari keempat masih pada tahap berjaga-jaga dengan angka korban kini mencecah 35 orang, termasuk tiga pencari rumput tempatan yang diklasifikasikan mati ketika letusan pertama berlaku.
“Anggota SAP dalam keadaan berjaga-jaga. Proses pemindahan akan segera diambil selepas menerima arahan dari Pusat Volkanologi di Jogja (Yogyakarta)," kata Rochimali ketika ditemui di pusat pemindahan utama di Pakam, daerah Sleman, terletak kira-kira 20km dari Gunung Merapi.
Katanya, anggota SAR diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga termasuk 18 anggota unit khas, dilengkapi peralatan khas seperti topeng gas, yang akan melakukan pemindahan kecemasan jika gunung itu meletup.
Tinjauan Berita Harian di sekitar Sleman, daerah terbesar di Yogyakarta, mendapati keadaan masih terkawal sekalipun asap tebal dan awan panas menyelubungi puncak gunung berapi itu dapat dilihat sejauh 20km dengan penduduk yang dipindahkan bersesak dalam dewan dan khemah di kawasan pemindahan.
Di Pakam, Ketua Daerah Sleman, Drs Sri Purnomo ketika ditemui berkata, semua jalan ke Merapi ditutup, namun masih ada sebilangan penduduk yang naik ke atas untuk mencari rumput gunung sekalipun keadaan amat berbahaya.
Mengenai bentuk bantuan yang diperlukan bagi membantu mangsa, Purnomo berkata, antara barangan yang amat diperlukan adalah tuala wanita, makanan bayi, susu, tuala, selimut, tilam, ubat gigi, sabun, minyak tanah dan lampu kecemasan.
"Tidak perlu hantar makanan," katanya menegaskan lebih 100 tong beras diperuntukkan badan pengurusan logistik kepada setiap pusat pemindahan.
Ketika penduduk di sekitar Merapi berada dalam ketakutan, di ibu kota Yogyakarta, penduduknya kelihatan lebih aman dan me-neruskan kehidupan seperti biasa kerana percaya kota yang penuh dengan istana tidak akan diancam limpahan lahar atau debu lahar ekoran kedudukannya kira-kira 30km dari gunung itu.
Lahar gunung berapi dikatakan mampu mengalir sehingga 15km saja, namun menurut seorang anggota SAR, Saiful Aziz, 22, keadaan akan menjadi buruk sekiranya hujan menyebabkan lava mengalir lebih jauh.
Pemandu kenderaan, Trihandono, 37, pula berkata kebanyakan penduduk di Jogja percaya kota itu masih selamat dan terkeluar daripada ancaman selepas penduduk termasuk beliau sendiri, melakukan upacara tradisi memasak 15 jenis sayur bagi menolak ancaman gunung berapi itu.
"Jogja masih keramat sebab itu apabila ia meletus (Selasa lalu), hujan debu bisa sampai ke Silacap, Jawa Barat (150km dari Merapi) dan Semarang di utara Jogja (kira-kira 100km dari Merapi) tetapi tidak di Jogja. Kami percaya daulat kraton (istana) di sini masih berpengaruh," katanya.
Malah katanya, penjaga gunung Merapi, Mbah Maridjan, antara mangsa korban Merapi pernah berpesan yang angin debu lahar tidak akan turun ke arah bandar Jogja yang menempatkan kira-kira 500 pelajar Malaysia, selain 34 lagi ditempatkan di Solo, kira-kira 65km dari gunung berapi itu.
No comments:
Post a Comment