Pages

Wednesday, April 28, 2010

RAHSIA SEMBAHYANG




Ketahui olehmu yang dikehendakki dengan kata menghadhirkan Zat Sembahyang itu ialah Niat. Manakala Niat itu adalah bekas Nur Sir Kalam Allah yang tiada berhuruf dan bersuara ya'ni rahsia qalam qadimNya. Yang demikian itulah dibilangkan berkata kata kita dengannya.

Maka hendaklah kamu ketahui sesungguhnya tatkala mengangkat Takbiratul Ikhram itu hal keadaannya mati sebagaimana sabda Nabi s.a.w. pada mengisyaratkan dengan katanya:

"Mutu Qabla Anta Mutu" Matikanlah diri kamu sebelum kamu mati. Maka adalah maksudnya itu fana'kan dirimu yang kasar, fana'kan panca inderamu yang bangsa zahir. Maka tatkala itu disuruh tilik atau pandang dirimu yang halus atau batin dengan menggunakan panca indera yang batin, kerana adalah yang batin itu berpakaian dengan Sifat Maani, manakala Sifat Maani itu adalah sifat yang lazim atau tetap bagi Zat Allah yang Wajibal wujud lagi Baqa'. Maka jika telah tetaplah bahawa Sifat Maani itu adalah Sifat Zat Allah wajiblah baginya dihukumkan Maanawiyah.

Maka untuk mendapatkan kata putus atau putus bicara mengena'i ta'arif pada Sifat Maani dan Maanawiyah perlu dibicarakan dengan teliti dan halus, bagi memahami Sifat Maani dan Maanawiyah.

Adapun dikatakan dalam pembicaraan taarif Sifat Maani itu demikian:-

"Hiya kullu sifatin maujudatin qa'inatin bimaujudin aujabat lahu hukman."

Tiap tiap sifat yang sedia ada yang berdiri dengan Zat Yang Sedia Ada diwajibkan yakni ditetapkan baginya satu hukum. Maka dalam perkara ini Sifat Maani itu wajib dihukumkan Maanawiyah.

Manakala hakikat Sifat Maani itu adalah "La hiya huwa hiya ghairuhu" Sifat itu bukan Zat, tetapi tiada lain dari Zat.(Kelakuan Sifat ini tidak berdiri dengan sendirinya tetapi lazim dia berdiri dengan Zat sebab antara zat dan sifat tidak boleh berpisah).

Adalah taarif Sifat Maanawiyah pula dikatakan:- "Hiyyal khaluth thabitu lizzati mada matizzatu mu'allalatin bi illatin" Hal yang sabit yakni tetap bagi Zat selama kekal Zat itu dikeranakan dengan satu kerana yakni Sifat Maani. Maka hakikat Sifat Maanawiyah itu " La hiya ghairuhu" Tiada lain dari Zat. Yang demikian nyatalah atau jelaslah sudah bahawa yang dihukum Maanawiyah itu adalah Sifat Maani atau Sifat Maani itulah Sifat Maanawiyah.

Maka hendaklah kamu ketahui dengan sempurna pengetahuan penegenalan bahawasanya Hakikat dirimu yang batin itu dipakaikan dengan rahsia Sifat MaaniNya. Rahsia Sifat Maani itulah Ruh Latifurrabaniah yang jadi hakikat bagi dirimu yang sebenar benar diri. Manakala adalah hakikat diri yang sebenar diri itu sebagai dzil yakni bayang bayang bagi kelakuan atau Sifat wujud Zat Allah yang mutlaq lagi tiada seumpama dengan sesuatu.


Maka ketahuilah bahawa tatkala mengangkat Takbiratul Ikhram itu dengan berkata Allahu Akbar kamu berada didalam Maqam Tauhid. Yang mana dituntut atas kita mentauhidkan akan ZatNya, SifatNya, Asma'Nya dan Af'alNya. Oleh kerana itulah bahawa tempat atau Maqam Tauhid kepada Allah itu didalam Takbiratul Ikhram pada lima waktu Solat Fardhu.

Maka untuk mendapatkan jalan Tauhid yang sebenar benarnya itu hendaklah kita ketahui dengan sempurna pengetahuan didalam bicara berkenaan Nafi dan Isbat. Oleh kerana didalam Nafi dan Isbat itulah duduknya Tauhid dan Ma'rifat.


Hakikat Nafi Yang sebenar.

Adapun sebenar benar hakikat Nafi itu Isbat dan hakikat Isbat itu Tauhid, manakala hakikat Tauhid itu Ma'rifat. Oleh kerana itulah sabda Nabi s.a.w. " La yufarriqu bainan nafi wal ithbat, man faraqa bainahuma fahuwa kafirun" Tiada becerai diantara Nafi dan Isbat, barang siapa memisahkan maka kafirlah dia. Oleh kerana hal keadaan Nafi mengandung Isbat dan Isbat mengandung Nafi, yang demikian bererti bilamana kamu Nafikan sesuatu yang mustahil bagi Allah, maka tak dapat tidak yang kamu Isbatkan itu sesuatu yang mustahil bagi Allah. AWAS. Bilamana kamu nafikan sesuatu yang haq bagi Allah maka tak dapat tidak yang kamu Isbat pun haq bagi Allah jua tiada lain. Maka faham daripada kata kata ini bahawa tidak syak lagi bilamana kamu Nafikan Zat kamu maka yang diisbatkan Zat Allah, Nafikan sifat kamu, diisbatkan Sifat Allah, Nafikan A'fal kamu diisbatkan A'fal Allah, Nafikan asma' kamu, diisbatkan Asma' Allah. Demikianlah adanya Hakikat Nafi/Isbat yang dikehendakki dibawa didalam sembahyang

No comments: