Pages

Wednesday, April 28, 2010

Minda: Wanita semakin galak jadi perokok

MEROKOK kini bagaikan suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma membanggakan.
Satu sedutan rokok boleh menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan yang kurang selesa seperti sakit tekak dan seterusnya menjadi penyebab utama kepada pelbagai jenis kanser seperti barah mulut, tekak dan peti suara.
Walaupun ramai di kalangan perokok yang menyedari mengenai bahaya dan kesan merokok terhadap kesihatan, namun risiko dan impak tabiat buruk itu seakan tidak dihiraukan. Hari ini merokok di kalangan wanita khususnya generasi muda dilihat sebagai satu perkara lazim. Gejala merokok yang dulunya lebih dikuasai lelaki kini mula menular di kalangan kaum hawa.

Seperti didedahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Dewan Rakyat baru-baru ini, peningkatan jumlah perokok baru di kalangan wanita menunjukkan trend membimbangkan. Wanita dan rokok semakin sinonim dan dianggap sebagai satu cara hidup. Rokok diumpamakan sebagai aksesori yang penting kepada wanita untuk mereka bawa ke mana-mana. Antara sebab wanita merokok ialah kefahaman bahawa merokok boleh menurunkan berat badan dan mengurangkan tekanan perasaan. Wanita yang obses terhadap kecantikan tidak akan melepaskan peluang memburu kecantikan luaran ini dengan merokok. Bagaimanapun, kefahaman ini sebenarnya tanggapan karut kerana merokok hanya akan menyebabkan tahap kecerdikan yang lebih rendah, malah satu tabiat membazir. Wanita khususnya penuntut institusi pengajian tinggi perlu menyedari hakikat ini jika mereka mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran. Kelemahan untuk mengendalikan emosi juga menjadi punca utama wanita mula merokok. Tekanan kerjaya yang membebankan menyebabkan wanita mencari idea lain untuk menenangkan perasaan. Merokok di kalangan wanita juga dianggap sebagai satu kegiatan sosial bersama rakan sambil bersembang dan menceritakan pengalaman hidup. Peningkatan jumlah wanita merokok hari ini sebenarnya meningkatkan lagi kadar risiko pesakit kanser di kalangan rakyat Malaysia. Kalau dulu hanya lelaki menghadapi bahaya penyakit ini, tetapi kini kadar risiko pesakit kanser meningkat dengan bertambahnya jumlah perokok wanita. Apa yang lebih membimbangkan, wanita mengandung yang ketagihan rokok menghadapi risiko kerosakan janin dalam kandungan. Jika dulu, risiko ini diperoleh akibat terdedah kepada asap rokok suami namun janin dalam kandungan kini terdedah kepada kerosakan disebabkan asap rokok yang disedut ibu sendiri. Kini, bukan saja masyarakat sekeliling terpaksa bergelumang dengan asap rokok, malah makhluk yang tidak berdosa pula perlu berdepan dengan azab merokok yang turut berkemungkinan mencacatkan proses pembesaran dan pertumbuhan paru-paru mereka. Pembabitan wanita dalam gejala merokok sebenarnya adalah tanda awal terhadap runtuhnya institusi kekeluargaan di Malaysia. Wanita sebagai ibu adalah tiang dalam rumah tangga. Sebagai ibu wanita menjadi rujukan, idola dan ‘role model’ kepada anak-anak. Jika ibu sendiri sudah bergelumang dengan tabiat yang tidak elok dan merugikan, bagaimana mungkin mereka mendidik anak-anak untuk menghindarkan diri daripada gejala tidak sihat itu. Apa yang nyata, fenomena ini jika tidak dibendung akan membawa kerosakan akhlak dan moral yang lebih parah kepada generasi akan datang. Seperti yang diketahui, bahan utama dalam rokok adalah tembakau yang diperkenalkan secara menyeluruh termasuk ke dunia Islam oleh penjajah Barat. Di kalangan masyarakat Barat, tembakau dihisap bukan saja untuk bersuka ria, tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak akan merokok melainkan kerana terpengaruh kepada budaya Barat.

Keutuhan dan kepentingan pendidikan agama yang kuat memainkan peranan sangat penting untuk berhadapan kehidupan zaman moden pada hari ini yang semakin membimbangkan. Sewaktu era kegemilangan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda menunjukkan pelbagai contoh daripada segi pemantapan akidah dan akhlak yang harus diikuti pengikut agama Islam pada masa kini.

Walaupun banyak kempen antimerokok dijalankan namun langkah bersepadu perlu dilunaskan terus bagi mengurangkan jumlah perokok di Malaysia. Antaranya, kerajaan bertanggungjawab dalam usaha menghapuskan perokok dengan menghentikan jualan rokok atau mengenakan cukai yang lebih tinggi untuk jualan rokok. Langkah ini diharap akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap bukan saja perokok, tetapi penjual rokok yang hanya mahu mengaut untung daripada mengambil berat akan akibat merokok terhadap pembeli. Selain itu, kesedaran agama juga penting kerana dalam ayat At -Termidzi ada menyebut: “Bukan daripada golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan daripada kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani.” Oleh itu, janganlah kita mudah terpengaruh dengan iklan hingga menjadikan kehidupan Barat sebagai panduan hidup kita.

Masalah sosial sebegini boleh dikurangkan dengan memperbanyakkan lagi kawasan larangan merokok. Setiap seorang daripada kita bertanggungjawab dalam menentukan masyarakat bebas daripada gejala merokok yang kian menular ini.
>Penulis adalah pelajar Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam

No comments: