Pages

Wednesday, April 28, 2010

JANGAN BERFIKIRAN KOLOT TENTANG DAJJAL

Umumnya masyarakat Islam atau lebih tepat lagi 98 % berfikiran kolot tentang makhluk bernama DAJJAL serta saat-saat kemunculannya. Apakah yang dimaksudkan dengan KOLOT? Apakah kaitannya dengan masyarakat Islam?
KOLOT bermaksud ‘jumud‘ atau ketinggalan zaman atau lebih tepat lagi ‘cara lama‘. Manakala ‘Berfikiran Kolot’ pula ialah memikirkan sesuatu perkara dengan ‘cara lama’ (old style) dan langsung tidak memperbaharuinya.
Sebagai contoh, sepasang suami isteri Muslim yang berpendidikan tinggi dan moden mendapati anak mereka sakit demam yang berpanjangan walaupun sudah banyak kali berjumpa doktor. Tanpa berfikir panjang mereka mengesyaki anak mereka terkena sampuk syaitan atau perbuatan orang yang mana kebetulan juga mereka tidak berapa baik dengan jiran sebelah rumah.
Maka pasangan tersebut telah membawa anak mereka berjumpa bomoh. Memandangkan pasangan tersebut orang kaya, maka adalah sukar seorang bomoh untuk mengatakan ‘anak mereka sakit biasa saja’, peluang terbaik untuk mendapat income lebih ialah mengatakan ‘anak anda kena buatan orang’.
Itulah cara pemikiran kolot orang Islam, sudah belajar tinggi-tinggi masih mencari bomoh yang tiada sijil SIRIM itu. Begitulah juga tentang hal ehwal Dajjal. Umat Islam masih memikirkan Dajjal seperti berikut ;
A. Gambaran paling kolot !
  • Digambarkan bermata satu dan bertanduk serta berbadan besar.
  • Digambarkan sebagai raksasa yang ganas.
  • Digambarkan seperti raksasa yang berjalan di atas permukaan bumi dan memijak semua rumah-rumah.
B. Gambaran kolot !
  • Dajjal digambarkan orang bermata satu yang datang dengan tentera-tenteranya di atas satu kapal angkasa.
  • Dajjal digambarkan memaksa setiap orang yang dijumpainya supaya mengaku dirinya sebagai tuhan.
  • Dajjal digambarkan suatu manusia yang berperwatakan ganjil dan keadaan fizikalnya yang menakutkan serta suka membunuh semua orang yang dijumpainya.
Setelah berfikiran seperti A dan B, umat Islam secara sendirinya cuba membentuk pula jalan penyelesaian masing-masing terhadap persoalan, “apa aku nak buat jika Dajjal datang kepada ku?”
Berikut pemikiran kolot umat Islam tentang jalan penyelesaian menghadapi Dajjal;
A. Penyelesaian paling kolot !
  • Apa aku nak takut! Jika dia paksa aku, aku tetap akan berlawan jika aku mati nanti, aku akan mati syahid macam sahabat nabi
  • Aku akan pastikan tempat persembunyian aku tidak diketahui Dajjal.”
  • “Aku akan pastikan tempat sembunyi aku di bawah tanah kerana rasaksa Dajjal itu tak boleh nampak dengan jelas”
B. Penyelesaian kolot !
  • Kalau Dajjal suruh mengakui dia sebagai Tuhan, aku akan angguk saja supaya dia tak bunuh aku. Tetapi hati aku tetap akan berniat dia bukan Tuhan, kalau tidak murtadlah aku.”
  • “Kalau Dajjal paksa aku mengakui dia sebagai tuhan, baik aku ikut sahaja. Lepas tu kalau aku jadi orang dia, aku akan cari peluang bunuh dia.”
Itulah pemikiran-pemikiran kolot yang dapat penulis kumpulkan. Dan banyak lagi pemikiran kolot yang tak dapat penulis tuliskan kerana terlalu banyak yang merapu dan tidak masuk akal.
Gaya Berfikir Kolot Memudahkan Kerja Dajjal?
Jika umat Islam mempunyai fikiran seperti A dan B, manakala jalan penyelesaian juga seperti A dan B, seronoklah Si Laknat itu. Mungkin ada yang memikirkan bahawa Dajjal tidak tahu cara berfikiran kolot di atas. Mana mungkin tidak! Dajjal dimudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan kerja-kerja terkutuknya.
Dajjal ditakdirkan Allah untuk mendapat bantuan dari Iblis dan sekutu-sekutu syaitan. Di dalam diri manusia mempunyai nafsu yang sememangnya dikuasai oleh syaitan untuk menyesatkan iman kita. Memandangkan gerak kerja Dajjal dibantu syaitan dan Iblis adalah tidak mustahil apa yang difikirkan manusia dilaporkan oleh syaitan untuk tujuan kajian Dajjal.
Dajjal akan mengumpulkan semua pemikiran manusia untuk dibuat satu kesimpulan yang khusus. Jika sekiranya Dajjal mendapat maklumat bahawa 90 peratus golongan remaja meminati dunia hiburan atau lebih cenderung kepada muzik. Maka Dajjal akan melaksanakan suatu bentuk penyelidikan bagaimana untuk mempengaruhi pemikiran remaja melalui muzik.
Dengan bantuan syaitan ini, Dajjal lebih mudah juga untuk memikirkan bagaimana untuk menerapkan nilai-nilai kesyaitanan dan pemujaan terhadap dirinya melalui muzik dan hiburan. Untuk memaksa manusia menyembah Dajjal secara terang-terangan adalah sukar, kerana masing-masing mempunyai agama sama ada Islam, Kristian, Yahudi atau sebagainya.
Tetapi untuk membuat manusia mengakuinya sebagai tuhan tanpa manusia sendiri sedari adalah suatu perkara yang mudah. Jika aspek hiburan adalah senjata, maka hiburanlah yang perlu kita ambil peduli dan berhati-hati.
Ingatlah wahai saudara-saudara sekelian, raksasa atau makhluk aneh yang anda tunggu-tunggu tidak akan kelihatan sampai bila-bila. Apa yang pasti, yang akan muncul nanti ialah seorang manusia yang kelihatan normal, berpendidikan, prestij, berkaliber dengan gaya ahli politik yang luar biasa. Manusia itu bernama Dajjal. Kenyataan ini telah banyak dibahaskan oleh kebanyakan pemikir-pemikir Islam dan Barat.
Cara ia memunculkan diri dan hari kemunculannya tidak diketahui melainkan konco-konconya yang terdiri dari kalangan pemimpin-pemimpin beberapa negara Eropah, billionaire dan ketua agama Yahudi. Saat ia muncul, semua umat Islam tidak menyedari kerana umat Islam masih memperhatikan manusia yang bermata satu, berbadan besar dan tertulis KAFIR di dahinya.
Semua itu tidak kelihatan. Walaupun hadis mengatakan Dajjal dengan ciri-ciri mata satu, berbadan besar tetapi semua itu boleh diubah Dajjal cuma hanya pada keadaan tertentu yang menampakkan ia begitu. Dan itulah tujuan hadis disabdakan, untuk dikaji dan diselidiki bukannya difahami secara luaran sahaja.
Hanya yang dapat mengenali Dajjal adalah konco-konconya dan ulama-ulama yang zuhud yang mana mereka dapat menghidu bau bencana akhir zaman ketika kemunculannya itu.
Adakah Hiburan Senjata Ampuh Dajjal ?
Ya, telah terbukti bahawa dunia berubah-berubah secara serentak dari segi fesyen dan alunan muzik melalui dunia hiburan. Bermula dengan agogo, twist, rock N roll, rock metal, hard rock, rap, reggae hinggalah sekarang ini semuanya berlaku secara serentak. Menghairankan ! Yakni apa yang berlaku di negara maju sama ada cara muzik dimainkan atau cara berapakaian  semuanya diikuti oleh negara dunia kedua dan ketiga.
Dan sekarang ini, suatu era baru yang diketengahkan Dajjal melalui konco-konconya di Hollywood ialah ‘hiburan realiti’. Rancangan bercorak ‘realiti’ semakin menular malah lebih cepat dari virus H5N1 (Birdflu) ke dalam umat Islam.
Tak perasankah anda? Anda tentu perasan…semua ini dilihat berlaku dengan cepat dan Akademi Fantasia yang penuh maksiat dan fantasi itu menjadi pelopor sebelum Malaysian Idol dibawa masuk. Seperti yang kita ketahui, konglomerat hiburan dalam Malaysia adalah dikuasai bangsa asing termasuklah semua stesen TV (kecuali RTM). Maka seharusya kita berwaspada dengan dakyah Dajjal semua ini.

No comments: