Monday, February 22, 2010
Lebih baik lapan rakaat dalam keadaan `segar'
Soalan:
Tabiat buruk saya yang saya rasakan berlaku sejak beberapa tahun ini ialah merasakan sembahyang tarawih sebanyak 20 rakaat itu begitu panjang lagi membosankan, apatah lagi ayat-ayat yang dibaca oleh imam itu tidak saya fahami. Saya sering berasa badan seperti terhoyong-hayang, terlalu mengantuk dan kadang-kadang berasa seperti hendak menjunam, walaupun demikian saya teruskan juga sembahyang.
Kadang-kadang saya terus keraskan hati membandingkan diri saya dengan orang lain. Dengan orang tua yang ada di sebelah kanan dan kiri yang uzur juga kanak-kanak yang terus sembahyang tarawih sehingga akhir tanpa bermasalah.
Sekiranya saya tidak menghadapi masalah seperti ini, tidak mengantuk akan timbul pula pelbagai gangguan atau ingatan dalam kepala. Peristiwa yang berlaku di pejabat, ketika kerja di lapangan dan macam-macam lagi termasuk peristiwa-peristiwa ketika saya masih kecil.
Keadaan seperti ini menyebabkan saya sembahyang hanya pada dua minggu pertama dan tidak datang ke masjid pada minggu berikutnya sehingga akhir Ramadan. Adakah keadaan seperti ini dihadapi oleh orang lain?
- Ahmad Syawal, Kepong
JAWAPAN:
Apa yang berlaku ke atas saudara dirasai oleh kebanyakan mereka yang sembahyang tarawih. Persoalan yang timbul ialah sama ada gangguan seperti ini dialami serius atau tidak.
Bagi mereka yang menghayati fadilat ibadah, terutamanya sembahyang tarawih di bulan Ramadan akan berupaya mengatasinya dengan masalah seperti yang berlaku ke atas saudara. Orang yang berhadapan dengan masalah seperti yang berlaku ke atas saudara sebenarnya bukan menghadapi masalah ketika sembahyang tarawih sahaja, tetapi juga ketika sembahyang biasa, iaitu sembahyang lima waktu, lebih-lebih lagi ketika sembahyang berjemaah
Pergerakan manusia dikawal oleh otak. Satu peristiwa yang menarik dan menyeronokkan akan berasa singkat apabila peristiwa itu dirasakan menyeronokkan. Orang yang sedang bercinta, berdua-duaan dengan kekasihnya berasa pertemuan tersebut begitu pendek, dirasakan menyesal untuk berpisah, biarpun malam telah terasa dingin dikuasai oleh embun pagi.
Begitu juga dengan mereka yang berada di meja-meja judi, di kelab-kelab hiburan dan sebagainya biarpun mereka menyedari apa yang dilakukan itu merosakkan diri sendiri sehinggakan mereka tidak menyedari kehadiran polis untuk menangkap mereka. Sebaliknya mereka yang tidak minat dengan judi atau berhibur di kelab-kelab hiburan dan sebagainya akan merasakan bahawa kehadiran mereka berada di tempat-tempat seperti ini terlalu membosankan lalu akhirnya akan berusaha untuk menjauhkan tempat-tempat seumpama ini.
Hal yang sama atau rasa bosan untuk melakukan sembahyang itu termasuk sembahyang tarawih akan dialami oleh mereka yang tidak menghayati rahsia sembahyang. Tidak menyedari bahawa sembahyang itu menghilangkan rasa resah gelisah yang dialami oleh manusia.
Dalam surah al-Ma'arij (19-23) dijelaskan bahawa tabiat semula jadi manusia itu dalam keadaan keluh kesah. Ketika menikmati kebahagiaan atau menolong orang lain, takut rugi biarpun apa yang dikeluarkan itu hanya melibatkan sebahagian kecil daripada nikmat anugerah Allah tadi.
Mereka mudah lupa diri dan hilang pedoman. Dalam masa yang sama, Allah menyatakan bahawa manusia itu mudah mengalami keresahan dan tidak tenang, lebih-lebih lagi ketika ditimpa kesusahan. Namun demikian, orang yang berupaya melakukan sembahyang terus-menerus dengan rasa khusyuk dan ikhlas, ditambah lagi dengan amalan sembahyang sunat seperti sembahyang taubat, tasbih, tahajud, sembahyang tarawih dan witir dan diterima Allah sembahyangnya akan dapat mengimbangi diri dalam kedua-dua keadaan iaitu ketika mengalami kesusahan atau kesenangan. Manusia tidak dapat mengelakkan diri daripada dua hal tersebut.
Sesungguhnya sembahyang itu mempunyai rahsia yang teristimewa dalam tujuan meraih ketenangan jiwa, terutamanya ketika menghadapi masalah.
Allah s.w.t. juga menyuruh setiap orang yang beriman itu bersabar melakukan ibadah sembahyang, sama ada kesabaran itu akibat daripada tindak-tanduk diri sendiri atau daripada orang lain seperti ketika mendidik anak atau keluarga, tanpa bosan, jemu atau putus asa.
Sesungguhnya sembahyang itu mempunyai muslihat dan fadilat yang teristimewa dalam pembentukan peribadi. Sembahyang mencegah pelakunya daripada melakukan dosa-dosa besar dan kecil.
Hal yang tersebut dijelaskan dalam al-Quran (al-Ankabut: 45): Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (sembahyang) adalah lebih besar keutamaannya (daripada ibadah-ibadah lain). Dan Allah mengetahui apakah yang kamu kerjakan.
Untuk memperkuatkan roh, manusia perlu beriman kepada Allah iaitu melakukan sesuatu yang difardukan dan meninggalkan setiap yang ditegah di samping melakukan amalan-amalan sunat berkekalan, terus-menerus sehingga mendapat kasih Allah. Apabila ini berlaku Allah akan memberi kekuatan diri. Ketika ini, apabila hamba itu berdoa memohon sesuatu, Allah akan memperkenankannya dan apabila memohon perlindungan, Allah akan melindunginya. Iman tidak akan diperoleh kecuali dengan ilmu. Hanya dengan ilmu sahaja manusia berupaya melakukan sesuatu dengan ikhlas. Allah akan hanya memberi sifat ikhlas kepada mereka yang dikasihi oleh-Nya. Sesungguhnya iblis telah bersumpah untuk menipu dan memperdaya manusia kecuali mereka yang mempunyai sifat ikhlas.
Beribadah di waktu malam adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang amat dituntut.
Menambah dan mengganti segala kekurangan dan kecuaian. Amalan yang mula-mula dihisab di hari kiamat kelak ialah sembahyang. Andainya sembahyang fardu yang dilakukan oleh seseorang itu kurang sempurna, amalan sembahyang sunat ini akan dijadikan penyempurna.
Barang siapa mendirikan sembahyang sunat 12 rakaat dalam satu hari selain daripada sembahyang fardu, Allah membina baginya sebuah rumah di syurga.
Qiamullail adalah amalan orang salih. Satu cara menghampirkan diri (takaru kepada Allah, menghapus dosa-dosa dan mencegah diri daripada melakukan kejahatan.
Orang yang melakukannya akan memperoleh ketenangan dan berupaya menghadapi masalah yang berlaku dengan tabah, sama ada ia merupakan penyakit, kehilangan harta benda, kematian yang berlaku juga apa-apa bala yang menimpa.
Qiamullail menghindarkan penyakit juga dapat menyembuhkannya sama ada sakit akibat gangguan jin, fizikal atau kedua-duanya sekali.
Allah menjanjikan ketenangan bagi mereka yang mengingati-Nya sama ada dengan bersembahyang, zikir, beristighfar, bermunajat dan sebagainya. Keterangan adalah mercu segala kenikmatan yang menjadi tuntutan utama mereka yang mengenainya.
Satu kaedah memperoleh kekuatan roh atau perkasa diri, Allah memberi nur mereka yang bertakarub pada-Nya. Nur inilah yang menjadi body resistance atau penangkis dalaman dari kejahatan iblis dan syaitan juga manusia yang bersifat iblis dan syaitan.
Keterangan di atas membuktikan bahawa untuk menghayati ibadah sembahyang yang dilakukan, seseorang itu mesti tahu rahsia di sebalik amalan yang dilakukan. Dari sinilah timbulnya rangsangan untuk melakukan ibadah tersebut dengan bersungguhan.
Bagi orang yang berpuasa, yang menahan diri daripada makan dan minum juga amalan-amalan lain yang terlarang dalam keadaan tertentu sering mengambil makanan atau minuman yang berlebihan. Apabila ini berlaku, semua organ dalaman akan bekerja keras untuk penghadaman, menyebabkan badan menjadi lemah. Dari sinilah lahirnya mereka yang berasa mengantuk ketika sembahyang.
Apabila fenomena ini berlaku disertai dengan tidak adanya pengetahuan yang merangsang beribadah maka akan lahir rasa bosan, lebih-lebih lagi ketika imam membaca surah atau ayat yang panjang. Tidak diketahui maknanya dan sebagainya.
Satu perkara lain yang perlu difahami bahawa amalan sembahyang seseorang hamba itu akan menjadi sasaran iblis dan syaitan. Sembahyang mencegah pelakunya daripada melakukan kemungkaran dan kejahatan padahal iblis dan syaitan ini telah bersumpah kepada Allah, yang dia dan kuncu-kuncunya akan menghasut, menipu dan menyesatkan manusia. Setiap ibadah yang disuruh oleh Allah atau setiap ketaatan akan ada penghalangnya. Dari sinilah lahirnya mereka yang mengambil air sembahyang berulang kali, akibat tipu daya iblis yang dinamakan `wilhan', kumpulan iblis yang dinamakan `hinzab', khusus untuk mengganggu manusia ketika sedang sembahyang.
Apabila gangguan fizikal berlaku berpunca daripada pengambilan makanan berlebihan seperti yang dijelaskan, dicampur pula dengan gangguan iblis dan syaitan maka situasi ini boleh menyebabkan seseorang itu berasa mengantuk, berasa badannya terhoyong-hayang ketika berdiri sembahyang, berasa seolah-olah hendak menjunam ke hadapan. Segala-galanya ini berlaku ketika sedang sembahyang. Yang memelikkan sebaik-baik sahaja sempurna sembahyang, rasa mengantuk, letih dan bosan itu hilang terus, kembali segar sedia kala.
Yakinlah, biar betapa mengantuk seseorang itu ketika sembahyang tarawih masih belum kedengaran lagi ada makmum yang terjunam ke tempat sujud ketika sembahyang tarawih. Sesungguhnya Allah tidak membebankan seorang hamba itu dengan bebanan ibadah yang tidak upaya dilakukan oleh hamba-Nya. Kerana itu sekiranya seseorang itu benar-benar tidak berupaya melakukan sembahyang tarawih sepenuhnya seperti lazim, lakukan lapan rakaat sahaja, dicampur dengan tiga rakaat witir.
Tarawih lapan rakaat dalam keadaan segar dan prihatin itu lebih baik daripada melakukannya 20 rakaat dalam keadaan mengantuk, penuh dengan rasa bosan juga otak yang berserabut dengan pelbagai peristiwa lalu, ketika di pejabat, di kampung, ketika kecil atau mengira budget hari raya ketika sedang sembahyang.
Oleh Dr. Amran Kasimin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment