Pages

Saturday, January 17, 2015

Labu gergasi bahan puja

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my




Johor Bahru: Kebun milik seorang mak andam di Jalan Utama, Kampung Melayu Majidee, di sini, kini menjadi perhatian selepas tiga pokok labu air yang ditanam mula berbuah dan bersaiz besar.
Amira Mukri, 53, berkata, tiga biji labu gergasi yang terdapat di kebunnya itu berukuran kira-kira satu meter panjang dan seberat tujuh kilogram setiap satu.
Bagaimanapun, dia kecewa apabila labu gergasi berkenaan dipuja oleh segelintir kaki nombor ekor tanpa kebenaran keluarganya kerana percaya ia memiliki kuasa luar biasa iaitu membawa rezeki.
Menurutnya, dia dan ahli keluarganya terkejut apabila terserempak dengan sekumpulan lelaki pada awal pagi minggu lalu berkumpul dan membakar kemenyan di kebun yang terletak bersebelahan kediamannya.
“Saya dan adik lelaki menanam pokok serta sayuran lain di kebun berkenaan sejak dua tahun lalu dan labu air berkenaan hanya berusia kira-kira dua hingga tiga minggu, namun semakin memanjang hingga mencecah satu meter.
“Beberapa penduduk datang ke kebun kami untuk merakamkan gambar kerana menyatakan mereka tidak pernah melihat labu air aneh seperti ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:25 AM






AMIRA menunjukkan labu air di kebun milik keluarganya di Kampung Melayu Majidee.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24354#sthash.DgGwQytL.dpuf

Spesis Cacing Gergasi Ditemui Di Pergunungan Cardamom

Diterbitkan: Sabtu, 17 Januari 2015 1:24 PM


SPESIS amfibia gergasi menyerupai cacing tanah yang dikenali sebagai  Ichthyophis Cardamomensis ditemui di kawasan terpencil Pergunungan Cardamom di Kemboja.

Spesis yang dipercayai kehilangan habitat ini boleh menjangkau 1.5 meter, tetapi ia bukan seekor ular.
|
Penemuan ini telah disahkan oleh ahli herpatologi (amfibia dan reptilia) Flora Dan Fauna Antarabangsa (FFI) Kemboja, Neang Thy awal bulan ini.

"Penemuan ini sangat penting dan membuktikan Kemboja mempunyai banyak lagi spesis tumbuhan dan haiwan yang tidak ditemui oleh ahli sains.

"Malah banyak lagi tempat perlu dikaji," jelasnya yang telah membuat kajian mengenai amfibia dan reptilia sejak 2003.

Spesis ini tergolong dalam keluarga 'caecilian'- menyerupai ular atau cacing tanah dan hidup di bawah tanah.

Pergunungan Cardamom merupakan kubu rejim Khmer Rouge suatu ketika dahulu, namun kini ia menjadi habitat pelbagai haiwan yang jarang ditemui termasuk gajah Asia.

Namun ia bakal pupus kerana berlakunya pencerobohan hutan tanpa kawalan.

Kaki dibelit ular sawa batik


WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2015

Jefri (dua, kiri) dan beberapa anggotanya menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap.
Jefri (dua, kiri) dan beberapa anggotanya menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap. 



DUNGUN - Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang terlibat dalam operasi menangkap seekor ular sawa batik di Kampung Burung Baru, di sini, berdepan detik mencemaskan apabila ular berkenaan membelit kaki seorang daripada anggota terlibat.

Bagaimanapun, ular seberat kira-kira 120 kilogram itu akhirnya berjaya ditangkap hasil ketangkasan dan latihan dijalankan sebelum ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Jefri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.29 petang daripada pengadu yang memaklumkan terdapat seekor ular sawa batik di dalam reban ayam di bawah rumahnya.

Justeru katanya, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular berkenaan.

“Apabila sampai, anggota terlibat mendapati ular itu masih berada di dalam reban dan kekenyangan selepas menelan seekor ayam. Difahamkan, tuan rumah hanya menyedari kehadiran ular itu apabila dimaklumkan pembeli besi buruk yang kebetulan ke kawasan itu.

“Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular itu kerana ia agak agresif apabila menyerang tiga anggota bertugas dan membelit kaki seorang daripada mereka. Tetapi hasil tindakan pantas anggota terlibat, operasi berjalan dengan jayanya,” katanya.

Menurut Jefri, ular berkenaan akan diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.

“Panjang ular itu dianggarkan kira- kira lima meter dengan berat melebihi 100 kilogram.

“Selesai sahaja operasi tangkapan, ular itu biasanya akan diuruskan Perhilitan sama ada untuk dilepaskan di kawasan hutan simpan atau habitatnya yang jauh daripada manusia,” katanya.

Bersiar di tasik naik sampan kertas



WILSON mendayung sampan kertas ketika bersiar-siar di sebuah tasik di selatan London di Britain baru-baru ini.


LONDON – Sepasukan jurutera di Britain mencipta sebuah sampan diperbuat daripada kertas yang boleh dinaiki oleh seorang manusia selama dua jam.
Sampan seberat sekitar 100 kilogram itu dihasilkan daripada segulung kertas khas sepanjang 93 meter yang dicantumkan dengan menggunakan 10 liter gam dan 150 meter pita pelekat.
Sampan berkenaan kemudiannya digunakan untuk bersiar-siar di sebuah tasik di selatan bandar raya ini. Sampan unik itu terapung selama dua jam sebelum tenggelam.
Seorang jurutera, Morwenna Wilson berkata, dia dan rakan-rakannya menggunakan kertas yang lebih kuat dan lebih kalis air untuk memastikan sampan itu mampu kekal lama dalam air.
“Kami membina sampan ini kerana mahu menarik minat kanak-kanak mengenai sains dan memberi inspirasi kepada mereka,” katanya.
Ujarnya, sampan itu juga merupakan salah satu promosi untuk acara tahunan Bing Bang Fair yang mempromosi kerjaya dalam bidang sains, teknologi dan matematik. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3P29X3gAn 
Hakcipta terpelihara 

Friday, January 16, 2015

Kucing lebih sayang manusia

Russia: Jika tidak kerana kucing jalanan, bayi lelaki berusia antara dua hingga tiga bulan yang ditinggalkan dalam kotak di tangga luar flat Obninsk, wilayah Kaluga, di sini, mungkin maut akibat kesejukan ketika suhu sekitar kawasan berkenaan kurang daripada 0 darjah celsius, baru-baru ini.
Kucing yang diberi nama Marsha itu bagaikan penyambung nyawa bayi berkenaan apabila masuk ke dalam kotak dan memanaskan badan bayi itu dengan bulunya selama beberapa jam selain menjilat bahagian muka.
Penduduk sekitar menemui kucing berkenaan dalam keadaan seperti melindungi bayi itu selepas terdengar bunyi kucing mengiau dengan kuat.
"Bayi itu berada di tangga luar flat selama beberapa jam. Terima kasih kepada Marsha yang menjaganya," kata seorang jurucakap hospital kepada Central European News.
Dalam pada itu, penduduk flat berkenaan, Nadezhda Makhovikova, yang ditemubual REN TV berkata, dia menjenguk ke kawasan tangga berhampiran rumahnya selepas mendengar bunyi kucing mengiau seperti dalam keadaan kesusahan.
"Apabila saya melihat ke dalam kotak, saya lihat ada bayi menangis dan ada kucing di sisinya," katanya.
Anggota paramedik, Vera Ivanina pula berkata, apabila anggota paramedik tiba dan membawa bayi itu, Marsha mengejarnya.
"Marsha seperti amat risau ke mana bayi yang diselamatkannya hendak dibawa. Kucing itu berlari di belakang kami dan mengiau dengan kuat," katanya.
Bayi yang ditemui dalam keadaan berpakaian bersih bersama lampin itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat meskipun beberapa jam ditinggalkan dalam keadaan cuaca sejuk.
Sejak itu, Marsha dimanjakan dan diberi makanan yang banyak oleh penduduk flat berkenaan dan kawasan
Polis tempatan pula melancarkan gerakan mencari ibu bapa bayi itu dan kini dijaga oleh pihak hospital buat sementara waktu. - Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 7:51 PM


BAYI yang diselamatkan kucing di Russia, manakala kanak-kanak perempuan didera manusia. FOTO Europics/Daily Mail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24223#sthash.T71bXCxW.dpuf

Senapang Cowboy Berusia 133 Tahun Ditemui Tersandar Pada Pokok Di Taman Negara


Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 9:49 PM
Antara kelihatan dengan tidak...selaras senapang Winchester ditemui tersandar pada sebatang pokok selama 133 tahun tanpa diganggu atau disentuh oleh manusia.

NEW YORK: Selarang senapang berusia 133 tahun mungkin milik seorang cowboy telah ditemui tersandar pada sepohon pokok Juniper di Taman Negara Nevada, Amerika Syarikat oleh ahli-ahli arkeologi yang sedang membuat penyelidikan di taman berkenaan.
Senapang itu adalah dari model Winchester yang dikeluarkan pada tahun 1882 dan masih dalam keadaan baik serta sempurna melainkan ia telah berkarat kerana terdedah kepada cahaya matahari dan cuaca.
Ia ditemui November lalu dan kini akan dipamerkan untuk tontonan awam di taman negara tersebut, demikian menurut jurucakap Taman Negara Nevada, Nichole Andler.
Bagaimana senapang tersebut boleh berakhir di situ masih lagi menjadi misteri.
Menurut Andler, senapang itu mungkin sukar ditemui apabila ia telah bertukar warna menjadi warna coklat kerana karat dan itu menyebabkan warnanya seakan-akan sama dengan warna batang kayu pokok Juniper tersebut.
Pada laras senapang berkenaan terukir perkataan “Model 1873” sekaligus membuktikan yang ia adalah salah satu jenama senapang paling popular pada zamannya.
Winchester diketahui mengeluarkan lebih 700,000 unit senapang berkenaan yang mana menurut Andler dijual pada harga yang berpatutan serta dikenali sebagai “senapang yang memenangkan wilayah Barat untuk Amerika”.
Winchester mengeluarkan senapang ini dari tahun 1873 sehingga 1916.

Bertemu semula setelah 24 tahun terpisah


Jian Youyou melukis untuk menyara kehidupannya.
Jian Youyou melukis untuk menyara kehidupannya.
WUHAN - CHINA. Setelah terpisah hampir 24 tahun, seorang lelaki akhirnya bertemu semula dengan ibu- bapa kandungnya.

Pertemuan menyayat  hati ini bertitik tolak selepas Jiang Youyou, 35, ditahan polis selepas cuba merompak seorang wanita.

Jurucakap polis, Lei Ho berkata, selepas gagal menunjukkan sebarang tanda pengenalan, Jiang menceritakan kisah hidupnya dan simpati dengan nasib yang menimpa Jiang, pihaknya mula menjalankan siasatan untuk menemukan beliau dengan ibu-bapanya.

"Kami akhirnya berjaya bertemu keluarganya yang kini masih menetap di Anhui, Timur China,” katanya.

Ibu Jiang, Mum Shao, 59, berkata, beliau selalu berharap agar dapat ditemukan semula dan berasa berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana telah memenuhi hajat terakhirnya.

"Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengannya lagi. Banyak aktiviti yang ingin dilakukan bersama dan saya akan memastikan dia gembira sebelum saya meninggal dunia", katanya.

Jiang yang pada ketika itu berusia 11 tahun berpisah dengan keluarganya selepas mengikuti bekas majikannya menjalankan urusniaga di bandar ini.

Wednesday, January 14, 2015

Cendawan gergasi seberat 
7.45 kilogram dijumpai di China


BEIJING 13 Jan. – Seorang pekedai ubat-ubatan di China, menemukan cendawan gergasi seberat 7.45 kilogram yang dianggarkan bernilai AS$894 (RM3,185) dan mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.
Wei Fangning menunjukkan cendawan gergasi berukuran lebar 107 sentimeter dan mencapai berat 7.45 kilogram. – AGENSI
Portal berita Mail Online melaporkan, pemilik kedai berkenaan, Wei Fangning menunjukkan cendawan yang dikenali sebagai Lingzhi bagi penduduk tempatan atau nama saintifiknya, Ganoderma lucidum dengan ukuran lebar 107 sentimeter.
Tambah laporan itu, cendawan tersebut ditemukan di wilayah Guangxi, barat daya China, dan tumbuhan tersebut sering digunakan dalam perubatan tempatan sejak lebih 2,000 tahun lalu.
Rakyat China juga menggelar cendawan Lingzhi sebagai ‘cendawan abadi’ kerana khasiatnya yang dipercayai boleh memanjang umur selain mempunyai banyak kegunaan untuk ke­sihatan termasuk mengatasi masalah tekanan darah rendah dan meningkatkan aktiviti sel darah putih.
Kebiasaannya, sebungkus cendawan itu dengan berat 250 gram dijual pada harga AS$30 (RM106) dan Fangning boleh mendapat pulangan lumayan dengan menjual cendawan gergasi itu.
Bagaimanapun, tiada harga tetap dalam penjualan cendawan kerana bergantung kepada kualiti, jumlah pemprosesan dan saiz tumbuhan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cendawan-gergasi-seberat-8232-7-45-kilogram-dijumpai-di-china-1.47665#sthash.tzgeSKB4.dpuf

Tuesday, January 13, 2015

‘Muzium’ perang dasar laut


Truk Lagoon lokasi persemadian kapal perang, pesawat

Truk Lagoon menjadi tempat persemadian beratus-ratus bangkai kapal
Truk Lagoon menjadi tempat persemadian beratus-ratus bangkai kapal dan pesawat yang pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua. – AGENSI
TRUK LAGOON 12 Jan. - Sebuah kawasan di Truk Lagoon, ba­­rat Lautan Pasifik menjadi tempat persemadian beratus-ratus bangkai kapal dan pesawat yang pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua.
Mail Online me­laporkan, lebih 40 buah bangkai kapal perang Jepun dan 250 buah pesawat terdampar di kawasan berkenaan selepas diserang oleh tentera pakatan dalam Operasi Hailstone dari 16 hingga 17 Februari 1944.
Hampir 70 tahun selepas kejadian se­rangan tersebut berlaku, kawasan berkenaan kini menjadi tempat persemadian bangkai kapal dan pesawat perang terbesar di dunia.
Selain itu, kawasan tersebut juga menjadi tarikan kepada para penyelam yang kagum dengan kekayaan sejarah, hidupan laut, dan batu karang yang terdapat di sekitarnya.
Seorang penyelam, Nick Blake, 49, berkata, pemandangan yang menarik selain kepelbagaian ikan dan batu karang menjadi sebab mengapa ramai penyelam gemar menghabiskan masa di kawasan berkenaan.
“Tanpa rasa ragu, ini adalah kawasan pelancongan terbaik di dunia. Bangkai kapal dan pesawat memberikan perman­dangan yang menarik kepada kami,” jelas Blake.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-muzium-8217-perang-dasar-laut-1.47338#sthash.skfZdHRZ.dpuf

Monday, January 12, 2015

Upah RM63,000 untuk duduk atas katil 72 hari

Washington: Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), NASA, dilaporkan sedang mencari sukarelawan yang bersedia berada di atas katil selama 72 hari untuk tujuan penyelidikan.
Sepanjang tempoh itu, mereka dibenarkan untuk menonton televisyen, menggunakan telefon bimbit, membaca buku, menghubungi rakan dan berkomunikasi melalui aplikasi Skype.
Seperti yang dipetik dari laman web Amerika Syarikat, Truhtalerts, semalam, kerja yang dilakukan sukarelwan itu tidak dibiarkan begitu saja kerana mereka akan dibayar sebanyak AS$18,000 (RM63,000).
Mereka akan dijadikan bahan kajian untuk mengetahui kaedah bagi mengekalkan kesihatan angkasawan yang mengembara dalam tempoh panjang dan lama di angkasa lepas.
Sepanjang berada di atas katil itu, sukarelawan akan dipantau oleh pasukan perubatan yang akan memeriksa kesihatan jantung, tulang dan sel darah bagi mengekalkan keselamatan dan kesihatan mereka. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:06 AM


GAMBAR hiasan menunjukkan beberapa orang menjalani ujian untuk penyelidikan bagi membantu angkasawan di angkasa lepas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23199#sthash.qERSFHg9.dpuf

Kereta lumba F1 jadi kereta peronda



KERETA F1 model Caparo T1 yang diubahsuai menjadi kereta peronda polis dipamerkan di Pameran Sukan Permotoran Antarabangsa di Birmingham, Britain kelmarin.


BIRMINGHAM – Polis Britain memperkenalkan sebuah kereta lumba Formula 1 (F1) yang diubah suai menjadi sebuah kereta peronda bagi menangani masalah pemandu yang gemar memandu laju.
Kereta F1 model Caparo T1 yang mempunyai kelajuan melebihi 322 kilometer sejam itu kini dipamerkan di pameran Sukan Permotoran Antarabangsa di sini kelmarin.
Bagaimanapun, kereta tersebut tidak akan digunakan di jalan raya tetapi dijadikan sebagai salah satu kempen keselamatan jalan raya oleh pihak berkuasa.
Seorang jurucakap polis, Superintendan Paul Kessey berkata, pameran tersebut adalah peluang terbaik kepada pihak polis untuk berhubung dengan golongan yang meminati kereta berprestasi tinggi.
“Golongan ini biasanya sukar untuk berbincang atau berjumpa dengan kami tetapi melalui pameran kami boleh berkongsi mengenai kempen keselamatan jalan raya dengan mereka.
“Mereka yang meminati kereta berprestasi tinggi sudah pasti tidak melepaskan peluang melihat kereta peronda polis ini dan kami akan menggunakan kesempatan itu untuk bergaul dengan mereka,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3OYegOay8 
Hakcipta terpelihara 

Kunjungi zoo dalam kurungan


Pengunjung berpeluang melihat hidupan liar secara dekat di Zoo
Pengunjung berpeluang melihat hidupan liar secara dekat di Zoo Hidupan Liar Lehe Ledu di bandar Chongqing, China. – AGENSI
BEIJING 11 Jan. – Pengunjung Zoo Hidupan Liar Lehe Ledu yang terletak di Chongqing di negara ini, berpeluang merasai pengalaman unik apabila berkesempatan bersiar-siar di taman zoo yang dikelilingi hidupan liar secara dekat.
Menurut laman web Oddity Central, pengalaman mendebarkan itu membolehkan pengunjung melihat hidupan dalam jarak dekat dengan menaiki sebuah trak yang dipasang kurungan besi.
Perkhidmatan itu terbukti menarik ramai pengunjung apabila tiket untuk memasuki zoo tersebut habis dijual untuk tempoh tiga bulan akan datang.
Walaupun hanya membayar tiket untuk berada di dalam kurungan, namun pengalaman itu merupakan sesuatu yang berbeza kepada pengunjung.
Malah, untuk mendapatkan pengalaman yang lebih menarik, ketulan daging mentah turut digantung di luar kurungan semata-mata untuk menarik perhatian binatang di zoo berkenaan untuk mendekati pengunjung.
“Kami mahu pengunjung ke zoo ini seronok apabila ‘disapa’ hidupan liar.
“Walaupun berada dalam kurungan, pengunjung berpeluang mendekati binatang buas dan semestinya tidak memberi risiko kepada mereka,” ujar jurucakap Zoo, Chan Liang.
Katanya, pengunjung bagaimanapun diberi amaran supaya tidak mengeluarkan tangan sepanjang lawatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kunjungi-zoo-dalam-kurungan-1.46915#sthash.O2xBTsz9.dpuf

Saturday, January 10, 2015

‘Hafiz’ dari lokap jaga ibu sakit

Oleh Asmizan Mohd Samiran 
am@hmetro.com.my


MOHD Nasis (kanan) ketika di penjara dan wajah terkininya di Kemboja. FOTO ihsan pembaca
Kuala Lumpur: “Saya kini menjaga ibu yang sakit barah otak selain cuba mencari kerja bagi menyara hidup. Ayah sudah berusia 70 tahun dan menjadi tanggungjawab saya menjaga mereka,” kata Mohd Nasis Yaakob, 21, pemuda yang mendapat pujian di alam siber selepas video kemerduan suaranya mengalunkan surah al-Qalam bermula dari ayat 10 hingga 28 berdurasi dua minit 29 saat ketika dalam lokap menjadi viral sekitar Julai tahun lalu.
Dia yang kini berada di Kampung Prek Pra, Phnom Penh, Kemboja ketika dihubungi Harian Metro, di sini, petang ini mengakui individu dalam video berkenaan adalah dirinya dan tahu ia tersebar selepas dimaklumkan pegawai penjara.
Menurutnya, dia ditahan anggota polis di Kota Bharu kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan sebelum ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan menjalani hukuman di Penjara Machang.
Katanya, ketika di lokap IPD, dia membaca ayat al-Quran yang dihafal sebelum ‘penghuni’ lokap lain memintanya membaca dengan lebih kuat.
“Memang menjadi amalan saya setiap hari membaca enam juzuk al-Quran. Apa yang saya ingat, ketika itu saya bangun daripada tidur dan terus mengalunkan ayat al-Quran sebelum ‘penghuni’ lain di dalam lokap menyuruh saya membaca dengan kuat.
“Saya terus membaca dan rupa-rupanya ada anggota polis merakamnya dan saya terus berhentikan bacaan,” katanya yang mengakui mendapat layanan baik di lokap dan penjara.
Mohd Nasis berkata, selepas dibawa ke Penjara Machang, pegawai penjara menunjukkan videonya mengalunkan ayat al-Quran dan bertanya adakah dia individu dalam video itu.
“Saya mengakuinya dan selepas itu barulah saya tahu video berkenaan tersebar. Alhamdulillah...” katanya.
Menurutnya, selepas dibebaskan dia dihantar pulang ke negara asal.
“Saya berusaha mencari kerja tetapi setakat ini belum mendapat kerja. Apa yang saya lakukan hanyalah menjadi imam di masjid dan menerima jemputan utuk mengajar agama dan memberi ceramah agama,” katanya yang menghafaz al-Quran ketika berusia 12 tahun.
Katanya, negara ini terlalu dekat di hatinya kerana sudah lama berada di Malaysia dengan menjadi imam dan mengajar agama di negeri seperti Selangor, Pahang dan Kelantan.
“ Memang saya nak kembali semula ke Malaysia, tetapi saya perlu menjaga ibu dan ayah,” katanya yang dibawa neneknya ke negara ini ketika usianya empat tahun.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 8:35 PM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22752#sthash.3kZoFtZK.dpuf

Cipta rekod cucuk 4,550 jarum di badan



LELAKI itu menunjukkan sebahagian daripada 4,550 batang jarum yang dicucuk pada badannya baru-baru ini.


OTTAWA, Kanada – Seorang lelaki di sini mencipta rekod baharu dunia dengan mencucuk 4,550 batang jarum pembedahan di badannya dalam tempoh lapan jam bagi membantu sebuah badan kebajikan, lapor MailOnline semalam.
Lelaki itu, Matthew Menczyk, 30, berkata, dia bercadang mencipta rekod baharu itu kerana mahu mengumpul wang untuk membantu badan kebajikan, Directions Youth Services di sini.
“Saya hanya mampu menangis apabila 4,550 batang jarum dicucuk di seluruh tubuh. Bagi menahan kesakitan itu, saya sanggup menggigit dan menumbuk beberapa objek.
“Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana dapat menahan kesakitan itu demi membuat amal kebajikan,” katanya.
Rekod sebelum ini dicipta oleh seorang warga Amerika Syarikat, Tyson Turk dengan mencucuk 3,900 batang jarum pada badannya pada tahun 2011.
Bagaimanapun, Matthew berhasrat untuk mencipta satu lagi rekod baharu pada tahun hadapan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3OMz9aETm 
Hakcipta terpelihara 

Imbang tong gas atas kepala sambil kayuh basikal



LELAKI ini juga mempunyai kemahiran mengimbangi badan ketika basikalnya berhenti tanpa perlu menurunkan kaki ketika berada di simpang jalan. - AGENSI


SAO PAULO, Brazil – Satu rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki menunggang basikal sambil mengimbangi sebuah tong gas kosong di atas kepalanya kini menjadi sensasi di internet.
Penonton yang melihat rakaman tersebut seakan-akan tidak percaya dengan kemahiran lelaki tersebut kerana secara bersahaja mampu mengimbangi tong gas di atas kepalanya tanpa apa-apa alat sokongan sambil menunggang basikal.
Aksi lelaki itu yang menunggang basikal di sebatang jalan raya di sini dirakamkan oleh seorang penunggang motosikal yang terpegun dengan kebolehannya.
Ketika dia menghampiri lampu isyarat, lelaki itu masih mengimbangi tong gas di atas kepalanya selain mampu mengimbangi badan ketika basikalnya berhenti di persimpangan jalan tanpa menjatuhkan kakinya.
Aksi tersebut dikatakan hanya mampu dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kemahiran sangat tinggi dan kini berjaya menarik minat seorang pengarah filem. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3OMyyctgx 
Hakcipta terpelihara 

Friday, January 9, 2015

Kampung bouncer


  • Kampung bouncer

SEBUAH kampung terpencil di Asola-Fatehpur Beri, berdekatan dengan New Delhi di India mempunyai keunikan tersendiri di mana boleh dikatakan semua lelaki di kampung itu mahu menjadi bouncer.

Kira-kira 90 peratus daripada penduduk berusia 18 dan 55 tahun berjaya mencapai pekerjaan impian mereka dan semua kanak-kanak lelaki di kampung itu digalakkan membina badan sejak masih kecil menurut Mirror.

Ketua jurulatih Vijay Pahelwan berkata, tiada seorang pun kanak-kanak lelaki di kampung berkenaan yang tidak pergi ke gimnasium dan tiada seorang pun yang mahu menjadi jurutera atau doktor kerana semuanya mahu menjadi bouncer.

“Semua lelaki di sini tidak mengambil alkohol, merokok dan kebanyakan mereka adalah vegetarian. "Terdapat juga beberapa orang mempunyai peluang cerah untuk ke Sukan Olimpik,”katanya.

Antara latihan di gimnasium itu adalah mengangkat motosikal dan traktor selain mengamalkan yoga  tradisional.

Telefon pintar RM21,300

Las Vegas: Pengguna yang gemar menayang telefon pintar mereka kini boleh melakukannya dengan produk keluaran Lamborghini yang berharga AS$6,000 (RM21,300), termasuk kos penghantaran.
Tonino Lamborghini Mobile semalam mengumumkan pelancaran peringkat global telefon keluli tahan karat dan kulit itu di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas.
Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu dan kejatuhan harga telefon mudah alih, syarikat berpangkalan di Itali itu berkata, ia mungkin tidak dapat memenuhi permintaan.
“Kemewahan bukan keperluan, tetapi cara untuk lebih menonjol.
“Kami menyediakan teknologi serta kemewahan. Kami tidak mengejar kuantiti,” kata ketua eksekutif Lamborghini Mobile, Bob Hatefi.
Syarikat itu tidak mempunyai kaitan dengan kereta Lamborghini, yang kini dikeluarkan oleh Volkswagen walaupun diasaskan oleh Yonino Lamborghini, anak pereka terkenal automotif, Ferrucio Lamborghini
Telefon pintar itu dijual sebagai peranti tidak berkunci dan boleh mengguna dua kad sim untuk tujuan pelancongan antarabangsa, mempunyai paparan berdefinisi tinggi dengan saiz lima inci, kamera 20 megapiksel dan boleh disambungkan dengan rangkaian mudah alih di seluruh dunia.
Telefon pintar 88 Tauri itu menawarkan tiga warna - hitam, keemasan dan perak dengan kemasan akhir menggunakan kulit berkualiti tinggi dengan pilihan lima warna.
Setiap telefon itu dipasang secara manual dan disertakan dengan nombor kod unik. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:06 AM


HATEFI menunjukkan telefon pintar 88 Tauri di pameran di Las Vegas, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22016#sthash.87JQJjzv.dpuf

RM58 punca sedar koma

Shenzhen: Selepas lebih setahun koma, nasib seorang lelaki berubah gara-gara ‘insentif’ jururawat yang sering menunjukkan wang kertas bernilai 100 yuan (RM58) di depan matanya.
Media semalam melaporkan, Xiao Li tidak sedarkan diri walaupun melalui pelbagai proses rawatan.
Xiao pengsan ketika leka melayan permainan dalam talian di sebuah kafe Internet pada Ogos 2013.
Sumber berkata, dia dibawa ke hospital dan sejak itu kekal koma akibat pendarahan serebrum yang serius.
Kata pakar bedah otak, Dr Liu, perdarahan intraserebrum spontan tercetus apabila pesakit terlalu leka melayan permainan dalam talian.
Baru-baru ini jururawat menunjukkan wang berkenaan di depan mukanya setiap hari.
Xiao diberitahu, dia boleh memiliki wang berkenaan jika mampu mengambilnya sendiri.
Tidak lama kemudian, Xiao dilaporkan mula menggerakkan tangannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:04 AM


XIAO menunjukkan peningkatan sejak ditawarkan RM58.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22573#sthash.DxgWDmkh.dpuf