Pages

Saturday, January 17, 2015

Kaki dibelit ular sawa batik


WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Januari 2015

Jefri (dua, kiri) dan beberapa anggotanya menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap.
Jefri (dua, kiri) dan beberapa anggotanya menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap. 



DUNGUN - Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang terlibat dalam operasi menangkap seekor ular sawa batik di Kampung Burung Baru, di sini, berdepan detik mencemaskan apabila ular berkenaan membelit kaki seorang daripada anggota terlibat.

Bagaimanapun, ular seberat kira-kira 120 kilogram itu akhirnya berjaya ditangkap hasil ketangkasan dan latihan dijalankan sebelum ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun, Jefri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.29 petang daripada pengadu yang memaklumkan terdapat seekor ular sawa batik di dalam reban ayam di bawah rumahnya.

Justeru katanya, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular berkenaan.

“Apabila sampai, anggota terlibat mendapati ular itu masih berada di dalam reban dan kekenyangan selepas menelan seekor ayam. Difahamkan, tuan rumah hanya menyedari kehadiran ular itu apabila dimaklumkan pembeli besi buruk yang kebetulan ke kawasan itu.

“Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular itu kerana ia agak agresif apabila menyerang tiga anggota bertugas dan membelit kaki seorang daripada mereka. Tetapi hasil tindakan pantas anggota terlibat, operasi berjalan dengan jayanya,” katanya.

Menurut Jefri, ular berkenaan akan diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.

“Panjang ular itu dianggarkan kira- kira lima meter dengan berat melebihi 100 kilogram.

“Selesai sahaja operasi tangkapan, ular itu biasanya akan diuruskan Perhilitan sama ada untuk dilepaskan di kawasan hutan simpan atau habitatnya yang jauh daripada manusia,” katanya.

No comments: