Pages

Thursday, September 24, 2015

Tiga juta jemaah haji wukuf di padang Arafah


AFP - JEMAAH haji tiba di padang Arafah dengan menaiki bas, dekat kota suci Mekah kelmarin.


Mekah – Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk kira-kira 22,000 dari Malaysia berhimpun di padang Arafah semalam untuk mengerjakan wukuf yang merupakan rukun utama ibadat haji.
Tempoh wukuf bermula dari tergelincirnya matahari pada 9 Zulhijjah (semalam) sehingga terbit fajar keesokan harinya.
Umat Islam berbilang bangsa dan keturunan tanpa mengira pangkat serta darjat memakai ihram semasa melaksanakan rukun Islam kelima itu.
Sebahagian besar jemaah bergerak ke Arafah dengan menaiki bas, manakala ramai antara mereka berjalan kaki dari kota suci Mekah sejauh 15 kilometer (km) menuju ke kawasan berkenaan.
Sementara itu, polis Arab Saudi mengadakan sekatan jalan raya untuk memastikan jemaah Haji memiliki permit menunaikan haji. Kebanyakan mereka keletihan dan kehausan berbanding jemaah yang tiba lebih awal dari Mekah.
“Sistem pengangkutan, penempatan dan makanan sangat teruk walaupun kami telah membayar kira-kira AS$4,000 (RM17,256).
“Kami keletihan namun, ia bukan masalah besar kerana ibadah kami untuk Allah,” kata jemaah haji Tunisia, Abu Salim.
Kebanyakan umat Islam singgah di Mina yang merupakan sebuah bandar khemah sebelum menuju ke Arafah di mana Nabi Muhammad menyampaikan khutbah haji terakhir lebih 14 abad lalu.
Pada tahun ini, kira-kira 100,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menjaga keselamatan jemaah haji berikutan meningkatnya serangan kumpulan militan Islamic State (IS) di Arab Saudi.
“Pasukan keselamatan telah mengambil langkah-langkah untuk menghalang IS daripada melakukan tindakan sabotaj pada musim haji,” kata jurucakap menteri dalam negeri, Mansur al-Turki.
Selain itu, pihak berkuasa Arab Saudi turut berhadapan risiko wabak Sindrom Pernafasan Virus Korono Asia Barat (MERS-Cov).
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mbNOVcxe 
Hakcipta terpelihara 

No comments: