Pages

Thursday, September 24, 2015

Popular selepas mesin taip kena tendang


AFP - KISHAN (kiri) bergambar bersama mesin taip baharunya di sebatang jalan di Lucknow, Uttar Pradesh, utara India kelmarin.


NEW DELHI – Seorang lelaki yang popular dalam sekelip mata selepas gambar seorang anggota polis menendang mesin taipnya menjadi viral di internet menyatakan, dia bosan dengan status ‘selebritinya’ dan mahu kembali menaip surat.
Gambar anggota polis mengganggu Kishan Kumar yang mencari rezeki sebagai jurutaip jalanan di bandar Lucknow, utara India mencetus kemarahan orang ramai yang bersimpati dengan lelaki tersebut.
Pihak berkuasa tempatan bertindak pantas dengan menggantung tugas anggota polis tersebut dan menjanjikan ganti rugi 100,000 rupees (RM6,602). Kishan diberikan sebuah mesin taip baharu.
Namun, Kishan yang berusia lingkungan 60-an memberitahu bahawa dia bosan dengan popularitinya kerana menyukarkannya bekerja.
“Saya tidak boleh bekerja kerana dikerumuni orang ramai. Saya tidak mendapat pendapatan sejak dua hari lepas.
“Apa yang akan saya berikan kepada keluarga jika tidak mendapat wang. Saya datang ke sini untuk bekerja bukan ditemu ramah wartawan,” kata Kishan di luar pejabat pos tempat dia bekerja.
Walaupun mesin taip jarang digunakan di kebanyakan negara, jurutaip jalanan masih kelihatan di serata bandar di India.
Mereka menggunakan mesin lama itu untuk menaip surat sumpah dan permohonan mahkamah dengan kadar bayaran 10 rupees (60 sen) untuk setiap muka surat.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3mbNzLfsn 
Hakcipta terpelihara 

No comments: