Pages

Monday, August 31, 2015

Berjaya kutip derma RM484,000 untuk penjual pen

AGENSI - LAMAN web indiegogo berjaya mengumpul dana berjumlah lebih £75,000 untuk lelaki yang menjual pen di sebatang jalan di Beirut baru-baru ini.


BEIRUT, Lubnan – Satu kutipan derma di internet telah berjaya mengumpul dana lebih £75,000 (RM 484,000) untuk seorang lelaki pelarian dari Syria dan anak perempuannya selepas gambar lelaki terbabit menjual pen di sebatang jalan di Beirut dikongsi pengguna internet baru-baru ini.
Gissur Simonarson, pengasas kepada laman web Conflict News memuat naik beberapa keping gambar lelaki itu pada Selasa lalu dan telah dibanjiri dengan permintaan untuk membantu lelaki Palestin yang tinggal di kem pelarian Yarmouk, Syria.
Gambar yang menyentuh hati itu menunjukkan Abdul yang merupakan seorang bapa tunggal kepada dua anak memegang pen di tepi jalan di selatan pinggir Damsyik sambil mengendong anak perempuannya, Reem yang berumur empat tahun dan sedang tidur.
Dana berjumlah £3,250 (RM 21,000) berjaya dikumpulkan hanya dalam beberapa jam dan jumlah kutipan terus meningkat melalui laman web pengumpulan dana awam, indiegogo.
Menurut laman web tersebut, kempen itu berjaya mengumpul sehingga £75,000 dalam masa 24 jam dan jumlah terkini mencecah £51,000 (RM329,000).
Dalam satu status Simonarson di Twitter, Abdul berkata mahu menggunakan wang yang diperoleh bagi membantu keluarga Syria lain selain menghantar anaknya ke sekolah.
“Sangat teruja melihat orang awam bersama-sama memberi perubahan kepada insan lain,” ujar Simonarson. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3kL5ZM4e6 
Hakcipta terpelihara 

Kedudukan orbit bulan paling hampir dengan bumi

AGENSI - SUPERMOON dirakam kelmarin (kanan) ketika bulan penuh perigee sementara ‘bulan-mikro’ iaitu bulan penuh terkecil (kiri) dirakam pada 5 Mac lalu kedua-duanya di Mutare, Zimbabwe.


MUTARE, Zimbabwe – Bulan dilaporkan telah mencapai tahap perigee semalam iaitu titik kedudukan orbitnya paling hampir dengan bumi, kurang 24 jam selepas kemuncak bulan penuh dicapai malam kelmarin.
Perigee semalam meletakkan bulan pada jarak 358,290 kilo­meter sahaja dari pusat bumi. Kejadian bulan penuh dan purnama perigee dalam tempoh masa yang dekat pula membolehkannya digelar sebagai ‘supermoon’ iaitu bulan penuh yang sangat dekat dengan bumi.
Bagaimanapun, titik pertembungan bulan penuh dan perigee pada 28 September ini, dengan jarak masa hanya satu jam antara kedua-duanya, akan menonjolkan ‘supermoon’ yang paling dekat dengan orbit bumi sepanjang tahun ini.
‘Supermoon’ bulan hadapan juga secara kebetulan akan melalui gerhana bulan penuh selama 72 minit, ditambah lebih sejam gerhana separa penuh sebelum dan selepas gerhana penuh tersebut.
Secara keseluruhannya, feno­mena ‘supermoon’ pada bulan hadapan akan mengambil masa sekitar 3 jam 20 minit untuk keluar daripada bayang-bayang bumi.
Gerhana bulan penuh kali ini juga merupakan yang keempat dan terakhir dalam tetrad lunar iaitu empat gerhana penuh secara berturut-turut dalam jarak enam bulan penuh antara satu antara lain. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3kL4gEnWo 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, August 30, 2015

Poland Percaya Mereka Temui Kereta Api Nazi Penuh Dengan Ketulan Emas


Diterbitkan: Sabtu, 29 Ogos 2015 2:46 PM
Sebahagian daripada terowong yang dibina oleh tentera Nazi Jerman yang ditemui di Poland.

WALBRZYCH (Poland): Pihak berkuasa Poland pada Jumaat membuat satu pengumuman yang mereka percaya serta yakin telah menemui kereta api misteri milik tentera Nazi Jerman yang membawa bertan-tan ketulan emas, tersembunyi di dalam sebuah terowong rahsia di pinggir bandar ini.
Timbalan Menteri Kebudayaan, Piotr Zuchowski berkata, keyakinan mereka itu bersandarkan imbasan radar yang dilakukan ke atas terowong berkenaan.
"Kami yakin 99 peratus ia adalah kereta api Nazi yang membawa ketulan emas itu," ujarnya kepada para pemberita.
Kereta api tersebut disembunyikan di dalam terowong rahsia itu pada penghujung Perang Dunia Kedua di ambang kejatuhan Kerajaan Nazi Hitler.
Menurut Zuchowski lagi, imej yang diperolehi daripada imbasan radar itu menunjukkan sebuah kereta api yang dilengkapi dengan serombong senjata berat.
Legenda tempatan sejak sekian lama mengesyaki kereta api Nazi itu dipenuhi dengan ketulan emas, batu permata dan senjata telah disembunyikan di dalam sebuah terowong rahsia pada 1945.
Zuchowski menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kedudukan tepat di mana terowong rahsia itu terletak.
Kata Zuchowski, maklumat mengenai terowong rahsia itu diperolehi daripada pengakuan seorang yang turut terlibat di dalam misi menyembunyi dan menutup pintu terowong berkenaan.
Awal bulan ini, seorang lelaki Poland dan Jerman memberitahu pihak berkuasa tempatan di sini yang mereka mengetahui di mana terletaknya lokasi kereta api yang disembunyikan itu.
Menerusi peguam, mereka berkata sanggup memberitahu lokasi berkenaan dengan syarat diberikan 10 peratus daripada apa yang ditemui nanti.
Dalam pada itu BBC melaporkan rekod menunjukkan antara 1943 hingga 1945, pihak Nazi telah mengerah tahanan perang untuk menggali terowong sepanjang 9km di sini.
Sebahagian daripada terowong yang ditemui itu telah menjadi pusat tarikan pelancong.
Timbalan Datuk Bandar Walbrzych, Zygmunt Nowaczyk memberitahu para pemberita Rabu lalu, bahawa lokasi terletaknya kereta api misteri itu dan identiti dua warga tua yang mendedahkannya masih dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
"Lokasinya adalah di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan Walbrzych," kata Nowaczyk.
Menurut legenda, emas-emas itu diperolehi dari daerah Wroclaw, Poland dan disembunyikan untuk mengelak ia jatuh ke tangan tentera merah Soviet yang sedang mara ke bandar ini pada tahun 1945.
Kerajaan Poland sebelum ini memberi amaran kepada warganya supaya tidak mencari harta karun itu kerana dikhuatiri ia dipenuhi dengan jerangkap samar yang dipasang oleh tentera Nazi sebelum menutup pintu terowong berkenaan sepenuhnya.

Ikan layaran seberat 300kg ditemui


NOR AZURA MD AMN
28 OGOS 2015Ikan layarab seberat 300kg ditemui
Ikan layarab seberat 300kg ditemui

PONTIAN - Jika sebelum ini  bangkai seekor ikan lumba-lumba ditemui nelayan Tanjung Piai, kali ini nelayan Permas pula bertemu seekor ikan todak seberat hampir 300 kilogram tersangkut pada jaring nelayan, pagi tadi.

Nelayan, Yaacob Mohd Nor, 51, yang menemui ikan layaran itu berkata, dia agak terkejut apabila melihat objek tajam tersangkut jaring yang dipasang disekitar kawasan pantai di Permas.

"Ketika saya turun ke laut kira-kira jam 9.30 pagi tadi, ‎saya dapati ada objek tajam tersangkut pada jaring. Selepas mendekatinya, rupanya ia bangkai seekor ikan layaran sepanjang kira-kira 3 meter.

‎"Saya terpaksa meminta bantuan daripada tiga orang nelayan lain untuk mengangkat bangkai ikan layaran itu ke dalam bot. Setiba di jeti, ramai yang terkejut melihat ikan layaran ini.

"Lebih 10 orang diperlukan untuk mengangkat ikan ini ke atas jeti,"katanya. ‎

Ular sawa dalam telaga buruk


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 OGOS 2015Ular sawa dalam telaga buruk
Ular sawa dalam telaga buruk Mohd Razman (kanan) bersama dua anggota JPAM menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap
TUMPAT - Seekor ular sawa sepanjang empat meter dan seberat 40 kilogram yang bersembunyi di dalam telaga buruk, berjaya ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat.

Ketua Operasinya, Lans Koperal Mohd Razman Mohd Nor berkata, anggota JPAM ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada orang awam jam 11 pagi, pada Rabu lalu.

Menurutnya, kehadiran ular tersebut disedari penduduk kampung, Mohd Khairul Azwan Razali, 23, ketika membersihkan kawasan di belakang kedai perabot di Pasir Pekan.

Katanya, saiz ular  yang besar dan agresif menyebabkan anggotanya berdepan kesulitan menangkapnya apabila terpaksa ‘bertarung’ selama setengah jam.

“Sukar kerana terpaksa menarik keluar ular yang berlingkar dalam telaga buruk sedalam satu meter.

“Kekuatan tenaga tiga anggota JPAM tidak dapat menandingi kekuatan ular tersebut yang agresif,,” katanya.

Mohd Razman berkata, dengan bantuan seorang penduduk, akhirnya ular itu berjaya ditarik keluar dari telaga tersebut.

Menurutnya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dan ular sawa itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai yang ingin meminta bantuan JPAM boleh hubungi talian  09-7254215,” katanya.

Bina kapal layar RM1.8 bilion


ILUSTRASI kapal mewah Sailing Yacht A yang direka oleh Melnichenko. - AGENSI


MOSCOW, Rusia – Seorang jutawan di sini memperuntukkan AS$450­ juta (RM1.8 bi­lion) bagi membina sebuah kapal layar mewah untuk kegunaan persendirian bersama-sama isterinya yang merupakan seorang supermodel.
Andrey Melnichenko, 43, merancang membina kapal mewah yang akan dinamakan Sailing Yacht A walaupun dia sebelum ini telah memiliki sebuah ‘rumah mewah’ atas air yang dikenali sebagai Motor Yacht A.
Kapal layar terbabit akan dilengkapi dengan lapan dek berserta satu ruangan pemandangan besar menggunakan kaca melengkung sebesar 17.93 meter persegi dan berat 1.8 tan.
Ruangan di bahagian bawah kapal itu pula akan membolehkan Melnichenko dan isterinya, Aleksandra yang merupakan mo­del dari Serbia menikmati pemandangan laut.
Kapal seberat 14,224 tan itu bakal mempunyai kru sehingga 54 orang dan menjadi sebuah kapal layar mewah milik persendirian terbesar di dunia.
Dengan tiga tiang yang lebih tinggi daripada menara Big Ben, ia bakal mengalahkan kapal layar lain seperti Falcon Malta yang dimiliki oleh ahli perniagaan Amerika Syarikat, Tom Perkins.
“Projek ini memberi risiko kewangan yang besar kepada Melnichenko kerana dia perlu membia­yai kos penyelidikan dan pembangunan yang besar jika dia berjaya mencapai wawasan tersebut,” ujar seorang jurucakap kepada Melnichenko.
Laporan menyebut, Mel­nichenko yang mempunyai perniagaan dalam pelbagai bidang termasuk pengeluar baja, arang batu dan tenaga mempunyai kekayaan melebihi AS$9 bilion (RM37.7 bilion). – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3kFHE0IZ8 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, August 29, 2015

Gagal dapat pekerjaan, gadis jual diploma


28 OGOS 2015Gagal dapat pekerjaan, gadis jual diploma
Gagal dapat pekerjaan, gadis jual diploma Foto yang dimuatnaik Stephanie Ritter (gambar kecil)

AKIBAT gagal mencari pekerjaan dalam bidang yang dipelajari dan masih mempunyai hutang pengajian sebanyak AS$40,000 (RM167,488), Stephanie Ritter bertindak menjual diplomanya di laman jualan atas talian eBay.

Menurut Dailymail, gadis berumur 26 tahun dari Southern California berkenaan 'sangat kecewa' kerana gagal mencari pekerjaan yang menggunakan diploma berkenaan.

"Saya fikirkan sekeping kertas ini (diploma) sangat berharga kepada ramai orang, tetapi untuk bidang teater, ia tiada nilai," kata Ritter kepada BuzzFeed.

Ritter menamatkan pengajian pada 2011 di universiti Florida State (FSU) dalam bidang teater dan hanya bekerja sebagai pembantu tadbir sehingga kini.

"Saya asyik melakukan perkara yang sama (sebagai pembantu tadbir) dan jumlah gaji saya kemungkinan besar dengan jumlah gaji mereka yang gagal dalam pengajian.

"Bezanya, saya mempunyai hutang pengajian sebanyak AS$40,000 dan mereka (yang gagal dalam pengajian) tidak mempunyai hutang," jelas Ritter.

Perasaan kecewa berkenaan memaksa Ritter menjual diplomanya, bersama-sama dengan 'pengalaman belajar di FSU'.

Ritter meletakkan harga AS$50,000 (RM209,360) iaitu jumlah kos yang dikeluarkannya untuk menamatkan pengajian tersebut.

Selain diploma tersebut, Ritter juga menawarkan untuk membawa 'pembeli berpotensi' untuk berjalan-jalan di FSU.

"Kenapa membazirkan masa selama empat tahun untuk mendapatkan sekeping kertas? Anda boleh beli kertas (diploma) kepunyaan saya!" tulis Ritter di Ebay.

"Berhati-hati dengan hutang pengajian," nasihat terakhir Ritter.

Tindakan Ritter bagaimanapun mengundang sinis pelayar laman sosial.

"Anda tidak selidik tentang prospek pekerjaan teater sebelum memulakan pengajian, padan muka," kata Paul Davis.

Pengguna Facebook cecah angka 1 bilion


29 OGOS 2015Mark Zuckerberg
Mark Zuckerberg

SAN FRANCISCO - AMERIKA SYARIAKT. Facebook mencatat pencapaian baharu dengan jumlah pengguna rangkaian sosial utama itu menembusi satu bilion orang sehari.

Pengumuman itu dibuat pengasas Facebook, Mark Zuckerberg di laman Facebook beliau.

"Ini adalah kali pertama kami mencatat pencapaian bersejarah ini dan ia hanya permulaan yang menghubungkan seluruh dunia," katanya.

Dalam laporan pendapatannya bulan lalu, Facebook menyatakan jumlah pengguna aktif bulanannya bertambah 13 peratus berbanding tahun lalu, kepada 1.49 bilion.

Jumlah pengguna aktif melalui alat mudah alih pula meningkat kepada 1.31 bilion.

Kereta RM18.54 juta untuk kekasih

Dubai: Gambar Lamborghini Veneno ini yang dirakam di hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai bukan sahaja antara kereta paling jarang dilihat di dunia, tetapi juga paling mahal.
Setakat ini hanya sembilan buah kereta itu dikeluarkan.
Dengan harga AS$4.4 juta (RM18.54 juta) sebuah, sudah pasti kereta itu hanya mampu dimiliki mereka yang kaya terlampau.
Selain keluarannya yang amat terhad, yang menjadikan Venono ini lebih menarik ialah rekaan semula bentuknya, transmisi ISR yang sudah diubah suai dan enjin yang ditala khas 6.5 liter V-12 yang mampu menghasilkan 750 kuasa kuda.
Menurut laporan majalah Carbuzz semalam, kereta itu dibeli oleh seorang jutawan Arab untuk dihadiahkan kepada kekasihnya.
Laporan itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama jutawan terbabit.
Namun, yang pasti, kekasihnya orang paling bertuah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:15 AM


LAMBORGHINI Veneno yang dibeli oleh seorang jutawan Arab.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73759#sthash.8FTFhG28.dpuf

Buat lompatan maut di hujung batu setinggi 700 meter



AKSI lompatan balik kuang yang dilakukan Segar di hujung tebing batu Trolltunga di Odda, Norway.


ODDA, Norway – Seorang pemuda di sini sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan melakukan aksi lompatan maut di hujung batu setinggi 700 meter dari aras laut.
Toby Segar, 21, yang berasal dari Godalming, Surrey di Britain dirakam melakukan aksi lompatan balik kuang di pinggir tebing batu yang dikenali sebagai Trolltunga.
Bermaksud lidah Troll, tebing batu itu terletak mendatar dari bahagian pergunungan sebelah utara di Tasik Ringedalsvatnet di sini.
Menurut Segar, semua orang pasti takut pada ketinggian, cuma ia mengambil masa untuk belajar bagaimana mengatasi rasa gentar itu secara rasional.
“Waktu paling mendebarkan adalah ketika saya berdiri di hujung tebing batu untuk bersedia melakukan aksi ini, namun selepas bermula segala rasa takut hilang,” katanya.
Segar merupakan seorang ahli sukan ekstrem parkour yang menumpukan pada seni pergerakan tubuh badan yang semakin popular ketika ini dan telah berlatih dalam pelbagai aksi sejak 10 tahun lalu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0828&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3k9Py0PLE 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki 70-an jadi ikon fesyen

BERLIN 28 Ogos – Kebiasaannya, warga emas tidak lagi mementingkan fesyen disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.

Gunther Krabbenhoft membuktikan golongan tua masih boleh mengenakan fesyen seperti orang muda. AGENSI
Tetapi berbeza pula kisahnya di Jerman apabila seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an, Gunther Krabbenhoft yang membuktikan usia tua bukan penghalang buat dirinya terjebak dengan dunia fesyen yang dianggap hanya sesuai untuk golongan muda.
Keberanian Krabbenhoft ternyata berbaloi apabila dia menjadi ikon fesyen dalam internet dengan mempunyai pengikut tersendiri dalam kalangan belia yang berminat dengan cara pemakaiannya.
Malah lebih mengagumkan, dia mendapat kontrak sebagai model bagi agensi yang beroperasi di Berlin, We Are Unlike You yang memilih model berkarakter unik.
Menurut portal Oddity Central, gambar Krabbenhoft dengan berpakaian berseluar jean, berkasut but, kot, bertopi, dan gelang tangan mengalahkan gaya pemakaian golongan muda mendapat perhatian pengguna internet.
“Bagi saya, cara pemakaian ini adalah normal kerana saya sering berpakaian sebegini.
“Saya mahu diri sendiri kelihatan gembira dengan mengenakan fesyen apabila ke tempat kerja atau bersukan,” katanya.
Beberapa laporan portal mendakwa Krabbenhoft berusia 104 tahun, tetapi dia menafikan dakwaan tersebut dan hanya mendedahkan usianya dalam lingkungan 70-an.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-70-an-jadi-ikon-fesyen-1.129627#sthash.gpKpmp1V.dpuf

Nenek bertanduk di China


Ketumbuhan di kepala Liang Xiuzhen seolah-olah menyerupai tanduk.
Ketumbuhan di kepala Liang Xiuzhen seolah-olah menyerupai tanduk. AGENSI
BEIJING 28 Ogos – Seorang nenek di China mempunyai ‘tanduk’ selepas satu ketumbuhan seakan-akan struktur itu tum­buh di kepalanya sejak beberapa tahun lalu.
Liang Xiuzhen, 87, dari wilayah Sichuan, barat daya China bagai­ma­napun hanya bertemu doktor baru-baru ini untuk menjalani pe­­meriksaan selepas tanduk se­pan­jang 12 sentimeter (cm) tersebut terus membesar.
Akhbar People’s Daily Online yang dipetik Mail Online me­laporkan, tanduk itu pada awalnya hanya sebesar 2 cm se­­belum secara tiba-tiba ‘patah’ enam bulan lalu ketika anak lelakinya membasuh rambut Xiuzhen.
Sejak itu, tanduk tersebut tumbuh dengan agak cepat sehingga mencapai ukuran 12 cm panjang dan 5 cm lebar selain menyerupai tanduk haiwan sebenar.
“Adakalanya, tanduk ini amat sakit sehingga membuatkan saya terjaga dari tidur,’’ kata Xiuzhen.
Menurut anak lelaki Xiuzhen, Wang Zhaojun, ibunya mempunyai tahi lalat pada kawasan tanduk berkenaan tumbuh, kira-kira lapan tahun lalu.
Nenek itu kerap mengadu gatal pada tahi lalat berkenaan, membuatkan ahli keluarganya merawat penyakit tersebut dengan herba yang akhirnya pulih.
Keluarga Xiuzhen kemudiannya meneruskan penggunaan ubat herba berkenaan tanpa rasa ragu-ragu sehinggalah dua tahun lalu apabila satu ketumbuhan mula tumbuh di tempat tahi lalat itu.
Doktor menyifatkan, tanduk Xiuzhen boleh dibuang melalui pembedahan, namun bergantung kepada keadaan fizikalnya.
Kes Xiuzhen ba­gai­manapun bukanlah yang per­tama berlaku di China kerana pada 2010, seorang wanita berusia 101 tahun juga mempunyai ketumbuhan menyerupai tanduk pada kepalanya, namun berita terkini mengenainya tidak diketahui.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nenek-bertanduk-di-china-1.129631#sthash.8nlwJwyb.dpuf

Friday, August 28, 2015

Lipas bersarang dalam telinga

Beijing: Doktor di wilayah Guangdong terkejut apabila menemui 26 lipas yang bersarang di dalam telinga seorang lelaki.
Lelaki dikenali sebagai Li, 19, mendapat rawatan selepas terasa gatal dan sakit pada telinga kanannya ketika tidur.
Doktor yang memeriksa telinganya terkejut menemui puluhan serangga kecil di dalamnya dan percaya lipas betina menghuni organ itu sejak beberapa minggu lalu sebelum bertelur di situ.
Dr Yang Jing dari Hospital Chang’an Xiaobian di Dongguan berkata: “Kami melihat objek berbentuk serangga melitupi liang telinganya sepenuhnya lalu mengeluarkan lipas itu.
“Pemeriksaan lanjut menemui 25 anak lipas.”
Menurutnya, secara keseluruhan doktor mengeluarkan 26 lipas merangkumi ‘ibu’ dengan 25 anak lipas sebesar nyamuk kecil.
Lipas antara serangga paling tahan lasak dan ada spesies mampu hidup beberapa bulan dengan hanya sumber terhad.
Serangga itu gemarkan tempat gelap serta panas, sama seperti liang telinga manusia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:22 AM


GAMBAR menunjukkan lipas yang dikeluarkan dari telinga lelaki itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73467#sthash.v0qW7yrY.dpuf

Beri nama 'Saiton' elak anak meninggal awal


27 OGOS 2015
Saiton
Saiton

PALEMBANG - INDONESIA. Baru-baru ini, media Indonesia mendedahkan beberapa pemilik nama unik termasuk seorang warga Banyuwangi yang bernama Tuhan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bernama 'Tuhan' disuruh tukar nama]

Kini muncul pula nama unik lain iaitu Saiton, (syaitan).

Memetik laporan media Indonesia, lelaki yang bernama Saiton itu berasal dari Palembang, Sumatera Selatan.

"Saiton lahir di Paldas Banyuasin, 10 Febuari 1976. Nama tersebut, kata dia, merupakan pemberian kedua orang tuanya, Cik Nang dan Saimubah," petik laporan Liputan 6 Com.

Menurut  Saiton,  pemberian nama itu  diberikan kepadanya kerana dari 12 orang adik beradiknya yang lahir, dua orang sahaja yang kekal hidup. Sepuluh yang lain meninggal tatkala berusia 5 hingga 7 tahun.

"Jika hidup semua, kami keluarga besar dengan 13 saudara. Saat saya lahir, orang tua saya berfikiran saya  tidak mungkin hidup. Kemungkinan kerana kesal anaknya meninggal terus dan sebab itulah orang tua saya menganggap saya sedang diganggu syaitan.

"Kerana itu, saya diberi  nama Saiton. Orang tua saya mungkin sudah 'kepalang bingung mau kasih nama apa' (sudah pening untuk memberi nama) ," jelas Saiton.

Bercerita  lanjut, Saiton berkata ketika dia berusia tiga tahun, dia pernah memprotes namanya itu, sebab namanya itu sering kali dijadikan sebagai bahan ejekan rakan-rakannya, lantas katanya kedua-dua orang tuanya menggantikan nama itu menjadi Iskandar.

Namun setelah diganti namanya, Saiton sakit dan ia berpanjangan selama tiga tahun. Pelbagai cara digunakan orang tuanya untuk mengubatinya namun tetap tidak berhasil.

"Orang tua saya panik dan beranggapan, bahawa saya juga tidak akan panjang umur sepertimana saudara saya yang lain, akhirnya saya dibawa kepada orang pintar dan disarankan untuk mengembalikan nama saya seperti sediakala.

"Setelah pakai nama Saiton semula, alhamdulillah saya sembuh dan hingga kini tidak ada penyakit yang parah menimpa saya," ujarnya.

Terowong kereta api paling panjang dunia


28 Ogos 2015 1:19 AM

Image result for Terowongan kereta api paling panjang didunia
Infografik Terowong

BERN 27 Ogos – Pembinaan terowong kereta api paling dalam dan panjang di dunia di Switzerland, selesai dijalankan dan akan dibuka pada 1 Jun tahun depan.
Terowong yang dikenali sebagai Terowong Dasar NEAT Gotthard mempunyai jarak 56.3 kilometer, sekali gus mengatas rekod Terowong Seikin di Jepun yang berukuran 23.3 kilometer yang menghubungkan pulau Honshu dan utara pulau Hokkaido.
Menurut portal Mail Online, terowong Gotthard yang menghubungkan Zurich ke Milan akan mengambil masa perjalanan selama dua jam dan 50 minit, sekali gus mengurangkan masa sebanyak hampir sejam bagi tempoh perjalanan ketika ini.
Jelas laporan tersebut, pembinaan terowong itu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Switzerland menelan kos kira-kira AS$10.3 bilion (RM42.7 bilion) dan mengambil masa hampir 20 tahun sejak mula dibina pada 1996.
Ketua Pegawai Eksekutif AlpTransit Gotthard, Renzo Simoni berkata, lebih 2,000 pekerja terlibat dalam kerja-kerja menggali dan mengeluarkan tanah bagi mencapai kedalaman 2,438 meter dari permukaan bumi.
Beliau menambah, pembinaan terowong itu amat penting bagi menghubungkan bandar-bandar utama seperti Milan dan Zurich memandangkan pengguna jalan raya perlu melalui kawasan pergunungan yang akan mengambil masa lama.
“Dengan pembinaan terowong ini, kereta api boleh bergerak pada kelajuan lebih 241 kilometer sejam dan menjimatkan banyak masa penumpang untuk sampai ke destinasi masing-masing.
“Selepas terowong ini dibuka, ia akan menjadi rangkaian kereta api paling selamat di dunia,” katanya.
Ujian keselamatan perjalanan kereta api yang pertama akan dilaksanakan pada Oktober ini dan kira-kira 1,000 orang akan dipilih untuk merasai pengalaman pertama laluan baharu itu pada Januari depan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/terowong-kereta-api-paling-panjang-dunia-1.129300#sthash.OugosnEh.dpuf

Wednesday, August 26, 2015

Mesej dalam botol tertua di dunia ditemui di Jerman

SELASA, 25 OGOS 2015 @ 8:38 AM

POSKAD dalam botol yang terdampar dekat pantai di Jerman. - Foto AP


PULAU AMRUM: Saintis berkata mesej dalam botol yang terdampar dekat pantai di Jerman berkemungkinan mesej tertua seumpamanya di dunia. Botol itu ditemui seorang wanita ketika dia sedang berjalan di tepi pantai di Pulau Amrum dekat Laut Utara, Jerman, April lalu. Poskad dalam botol itu antara lain meminta sesiapa saja yang menemuinya untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Biologi Marin United Kingdom (UK). Ditulis dalam bahasa Jerman, Belanda dan Inggeris, nota itu turut menjanjikan ganjaran sebanyak satu syiling kepada sesiapa saja yang memulangkannya. Mengikut persatuan itu, botol berkenaan dihanyutkan oleh pengkaji terkemuka, George Parker Bidder pada awal tahun 1900 sebagai sebahagian daripada kajian marin mengenai arus lautan. Bidder menghanyutkan lebih 1,000 botol antara tahun 1904 dan 1906. Botol itu direka untuk terapung supaya ia boleh dibawa arus laut dalam. Persatuan Biologi Marin sudah mengemukakan mesej dalam botol itu untuk diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai yang tertua di dunia. Rekod dunia sedia ada milik mesej yang ditemui di barat Kepulauan Shetland pada Julai 2013. Mesej itu berusia 99 tahun dan 43 hari. -AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77125

Remaja Hamil Disahkan Mati, Didakwa Hidup Semula


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 7:15 AM

SEORANG remaja yang telah disahkan meninggal dunia, hidup semula selepas dia dikebumikan selama sehari di Honduras.
Neysi Perez, 16, dikebumikan dalam keranda dan simen konkrit sebelum bapanya, Rudy Gonzales terdengar jeritan dari kubur anak wanita itu ketika menziarahi pusara berkenaan.
Bagaimanapun apabila kuburnya digali semula, ahli keluarga mangsa mendapati Neysi tidak lagi bernyawa manakala kaca pada kerandanya telah pecah.
Selain itu, ahli keluarga remaja itu mendapati tangan mangsa berdarah dipercayai akibat mengetuk keranda berkenaan.
Gonzales memberitahu, anak perempuannya yang sedang hamil terjatuh di rumah ketika ingin ke tandas.
Jelasnya, apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan remaja berkenaan telah meninggal dunia sebelum mereka mengkebumikan wanita berkenaan.

Senapang terbang

Riyadh: Dalam filem Harry Potter anda boleh melihat aksi ahli sihir terbang dengan menggunakan penyapu ajaib, tetapi lain pula ceritanya dengan sekumpulan individu di negara ini.
Kumpulan berkenaan mempunyai satu hobi yang pelik iaitu ‘terbang’ dengan menggunakan senapang.
Hobi ekstrem itu mula popular sejak beberapa bulan lalu dan sekumpulan pemuda berkumpul hampir setiap minggu untuk melakukan aktiviti berkenaan.
Jurugambar, Mohamed Al Hwaity merakam aktiviti kumpulan berkenaan.
Mohamed berkata, hobi itu sangat bahaya kerana mereka menggunakan senapang dan peluru hidup.
Menurutnya, kumpulan itu biasanya berkumpul di satu kawasan lapang yang luas dan meletakkan permaidani di atas tanah.
“Mereka akan memegang senapang secara terbalik dan menghalakan muncung senjata itu ke tanah.
“Selepas memegang senapang dengan erat, mereka akan melompat sambil menarik picu.
“Daya tujah akibat letupan senapang itu menolak mereka lebih tinggi ke udara seperti sedang terbang,” katanya.
Menurutnya, aktiviti itu sangat bahaya kerana peluru boleh mengenai kaki atau mereka yang berada berhampiran kawasan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:00 AM


AKSI seorang lelaki yang ‘terbang’ dengan menggunakan senapang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72989#sthash.0jZHTvfN.dpuf

Tuhan kena tukar nama

Surabaya: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mahu seorang lelaki yang bernama Tuhan menukar namanya kerana nama itu tidak layak diberi kepada manusia.
Ketua MUI Jawa Timur, Abdussomad Bukhori berkata, mengikut agama Islam penggunaan nama Tuhan pada manusia adalah tidak tepat.
“Tuhan disembah oleh manusia dan sebab itu nama itu tidak sesuai diberi kepada manusia kerana boleh menyebabkan syirik.
“Nama Tuhan hanya boleh digunakan sekiranya ada penambah nama di awal seperti Abdullah yang bermakna hamba Allah,” katanya.
Abdussomad mendesak lelaki itu menukar namanya dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya dia masih berdegil.
“Sekiranya dia masih enggan menukar nama saya menggesa pihak berkuasa tidak mengeluarkan kad pengenalan kepadanya,” tegasnya.
Sementara itu, Tuhan berkata, dia tetap bertegas enggan menukar namanya kerana yakin ibu bapanya memberi nama itu atas sebab yang baik.
“Sekiranya nama saya ditukar, semua dokumen seperti kad pengenalan, surat nikah dan dokumen lain perlu juga ditukar,” katanya.
Bapa kepada dua anak ini juga melihat tiada keperluan untuk menukar namanya kerana nama itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 7:48 AM

KAD pengenalan diri milik Tuhan.

Tangan bayi pramatang sebesar cincin


AGENSI - tangan Mollie (dalam bulatan) muat untuk disarung cincin perkahwinan ibu bapanya.


HULL, Britain – Seorang bayi perempuan yang dilahirkan pramatang memiliki saiz badan sangat kecil sehingga tangannya muat dengan cincin perkahwinan bapanya.
Mollie Perrin yang dilahirkan pada 27 April lalu iaitu 13 minggu lebih awal telah disahkan menghadapi masalah pada plasenta ketika dalam kandungan.
Doktor memberitahu kedua-dua ibu bapanya, Stephanie, 34, dan James, 38, bahawa bayi mereka mungkin tidak akan hidup melebihi tiga minggu.
Sejurus dilahirkan, Mollie dengan berat hanya 482 gram dan lebih kecil daripada satu pek gula telah dikejarkan ke pusat rawatan neonatal.
Dia bagaimanapun berjaya mencabar jangkaan doktor apabila pada usia tiga minggu, ibu bapanya sudah boleh memegangnya untuk kali pertama. Kini, pada usia 17 minggu, Mollie sudah boleh dibawa pulang ke rumah.
“Saya tidak percaya Mollie akhirnya kembali kepada kami untuk dibawa pulang,” ujar James. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3jsNpkCou 
Hakcipta terpelihara 

Karavan klasik jadi rumah mewah bergerak



AGENSI - KARAVAN klasik ini telah diubah suai menjadi rumah mudah alih mewah untuk ke pelbagai destinasi.


COLORADO, Amerika Syarikat – Sebuah syarikat di sini telah mengubah suai sebuah karavan klasik menjadi rumah mudah alih yang mewah dengan reka bentuk hiasan terkini.
Kenderaan pada tahun 1965, Whale Tail atau turut dikenali sebagai Orvis Airstream itu dahulunya digunakan sebagai rumah tumpangan untuk memburu dan memancing di Tasik Goose, Oregon.
Bagaimanapun, selepas diubah suai, karavan berkilat dan klasik itu sedia untuk apa juga perjalanan.
Pokok Hickory semula jadi telah digunakan sebagai perabot dalam kenderaan itu, manakala lantai daripada pokok oak tua melengkapkan kepingan tembaga vintaj pada ruang udara untuk memasak.
Ruang makan pula dilengkapi dengan kerusi daripada kulit asli dan menawarkan pemandangan menarik melalui tingkap yang besar.
Dengan ruang yang terhad, bilik tidur utama pula direka lengkap dengan kemudahan simpanan tambahan di bawah tilam.
“Kenderaan klasik dengan kemasan mewah sebesar ini dijual pada harga sekitar AS$250,000 (RM1.05 juta) ” ujar Eksekutif Akaun syarikat Timeless Travel Trailers, Chris Gartenmann. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3jrtmlXcp 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, August 25, 2015

Kereta api jadi rumah

Agensi
Stuttgart (Jerman): Ramai penyewa mempunyai pengalaman buruk dengan tuan rumah, tetapi pelajar ini mengambil jalan penyelesaian yang boleh dikatakan berani dan pelik.

Selepas bertengkar dengan tuan rumahnya, Leonie Muller, 23, membuat keputusan tidak lagi mahu menyewa tempat tinggal, sebaliknya memilih hidup sepenuh masa atas kereta api.

Leonie membawa semua barangan keperluannya bersama-samanya di atas kereta api – dari pakaian serta laptop sehinggalah barangan kelengkapan dandanan diri serta buku teks.

Pelajar Universiti Tübingen di tengah Jerman itu mandi di dalam bilik air kereta api dan berkata, dia kini memerlukan pas bulanan bernilai RM1,600 untuk menaiki mana-mana kereta api – murah sedikit daripada sewa rumah sebanyak RM1,900 sebulan yang dibayarnya sebelum ini.

Teman lelakinya berada di Cologne. Dengan menginap atas kereta api memudahkannya melawat kekasihnya selain ibunya di Berlin dan menghadiri kelas di universiti.



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 7:44 AM

LEONIE melakukan kerja sekolah dalam kereta api.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72763#sthash.LsOQlbJY.dpuf

Kucing jadi pelajar sekolah tinggi


25 OGOS 2015Kucing jadi pelajar sekolah tinggi
Bubba turut menyertai sesi pembelajaran.


CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT . Seekor kucing diterima untuk menjadi pelajar di sebuah sekolah tinggi di San Jose kerana sering dilihat sentiasa merayau-rayau di sekitar bilik darjah sekolah terbabit.

Kucing yang diberi nama Bubba diterima untuk menjadi pelajar San Jose Leland High School malah haiwan comel itu juga diberi kad pengenalan pelajar.

Bagaimanapun, guru sekolah tersebut terpaksa belajar bagaimana untuk mendisiplinkan Bubba yang kebiasaannya akan menunggu di hadapan pintu kelas, membuat bising dan mengganggu sesi pembelajaran.

Memetik laporan The Independent, pemilik kucing itu, Amber Marienthal berkata, kucingnya yang diambil dari pusat jagaan haiwan pada tahun 2009 sering merayau-rayau di sekitar sekolah tersebut yang terletak bersebelah rumahnya.

"Kucing tersebut bukan hanya merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah malah turut memasuki kelas ketika sesi persekolahan", katanya.

Tambahnya lagi, Bubba tidak akan pulang ke rumah sehinggalah sesi persekolahan tamat.

Dalam pada itu, Amber juga turut berharap agak kucingnya itu akan menamatkan 'pembelajarannya' dan pihak sekolah akan membenarkan Bubba menyertai majlis konvokesyen kelak.

Bubba menjadi 'pelajar’ pilihan sekolah tersebut dan turut menghiasi muka depan majalah dan akhbar sekolah.

Malah, kucing comel tersebut juga mempunyai 6,000 peminat di laman Facebook miliknya.

Mangsa buli dapat tangan bionik



AGENSI - JOSH (tengah) cuba menggerakkan tangan bionik yang dicipta khas untuknya.


FIFE, Britain – Seorang kanak-kanak lelaki di sini yang sering menjadi mangsa buli kerana dilahirkan cacat tanpa tangan kanan, kini mampu menarik nafas lega selepas mendapat tangan bionik baru-baru ini.
Sebelum ini, Josh Cathcart, 9, dari Dalgety Bay, Fife, sering diejek oleh rakan-rakan sekelasnya kerana hanya mempunyai satu tangan.
Situasi itu menimbulkan kerisauan kepada ibu bapanya, Clare dan James menyebabkan mereka mencari jalan penyelesaian bagi membantu mengembalikan keyakinan diri Josh.
Mereka bertemu dengan syarikat Touch Bionics yang mencipta sebuah tangan bionik, i-limb Quantum sekali gus menjadikan Josh sebagai kanak-kanak pertama di Britain menggunakan inovasi baharu itu.
Josh memberitahu, tangan bionik tersebut sedikit berat tetapi kini dia mampu menggerakkan jari, malah menggenggam tangan untuk memegang pisau.
“Saya boleh membuka penutup botol dan menyediakan makanan. Malah, saya boleh membina permainan Lego menggunakan tangan bionik ini selain dapat memakai seluar dengan menggunakan kedua-dua belah tangan,” kata Josh. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3jm45DTTq 
Hakcipta terpelihara 

Kisah lelaki ‘belah’ gunung untuk pendekkan jalan ke hospital difilemkan


AGENSI - Dashrath menghabiskan masa selama 22 tahun memahat gunung untuk jalan di lereng gunung selepas kematian isterinya.


NEW DELHI – Industri perfileman Bollywood mengadaptasi kisah seorang lelaki yang tidak berputus asa memahat lereng sebuah gunung selama 22 tahun untuk dijadikan jalan selepas kematian isterinya.
Lelaki itu, Dashrath Manjhi berbuat demikian selepas kehilangan isterinya, Falguni pada tahun 1959 kerana gagal mendapatkan bantuan perubatan berikutan jarak hospital yang jauh.
Perjalanan ke bandar berdekatan dari rumahnya adalah sejauh 54.7 kilometer (km).
Disebabkan itu, dia mahu memendekkan jarak laluan tersebut kepada 15km sahaja dengan meratakan lereng gunung berkenaan agar penduduk kampung lain tidak menerima nasib yang sama sepertinya.
“Kisah Dashrath sangat indah dan menyentuh hati.
“Dia menjadikan tiada yang mustahil untuk dilakukan dan segala usahanya telah membantu ribuan orang,” kata aktor, Nawazuddin Siqqiduim yang membawakan watak Dashrath.
Dashrath dikatakan bekerja sendirian dari pagi hingga ke malam meratakan kawasan lereng gunung dengan hanya menggunakan tukul dan pahat selama 22 tahun sehingga berjaya menamatkan kerjanya itu pada 1982.
Dia meninggal dunia pada 2007 kerana kanser dan diberi penghormatan oleh kerajaan dengan istiadat pengkebumian negeri di Bihar. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3jm3s4oBO 
Hakcipta terpelihara