BERLIN 28 Ogos – Kebiasaannya, warga emas tidak lagi mementingkan fesyen disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.
Tetapi berbeza pula kisahnya di Jerman apabila seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70-an, Gunther Krabbenhoft yang membuktikan usia tua bukan penghalang buat dirinya terjebak dengan dunia fesyen yang dianggap hanya sesuai untuk golongan muda.
Keberanian Krabbenhoft ternyata berbaloi apabila dia menjadi ikon fesyen dalam internet dengan mempunyai pengikut tersendiri dalam kalangan belia yang berminat dengan cara pemakaiannya.
Malah lebih mengagumkan, dia mendapat kontrak sebagai model bagi agensi yang beroperasi di Berlin, We Are Unlike You yang memilih model berkarakter unik.
Menurut portal Oddity Central, gambar Krabbenhoft dengan berpakaian berseluar jean, berkasut but, kot, bertopi, dan gelang tangan mengalahkan gaya pemakaian golongan muda mendapat perhatian pengguna internet.
“Bagi saya, cara pemakaian ini adalah normal kerana saya sering berpakaian sebegini.
“Saya mahu diri sendiri kelihatan gembira dengan mengenakan fesyen apabila ke tempat kerja atau bersukan,” katanya.
Beberapa laporan portal mendakwa Krabbenhoft berusia 104 tahun, tetapi dia menafikan dakwaan tersebut dan hanya mendedahkan usianya dalam lingkungan 70-an.
No comments:
Post a Comment