Ketumbuhan di kepala Liang Xiuzhen seolah-olah menyerupai tanduk. AGENSI
BEIJING 28 Ogos – Seorang nenek di China mempunyai ‘tanduk’ selepas satu ketumbuhan seakan-akan struktur itu tumbuh di kepalanya sejak beberapa tahun lalu.
Liang Xiuzhen, 87, dari wilayah Sichuan, barat daya China bagaimanapun hanya bertemu doktor baru-baru ini untuk menjalani pemeriksaan selepas tanduk sepanjang 12 sentimeter (cm) tersebut terus membesar.
Akhbar People’s Daily Online yang dipetik Mail Online melaporkan, tanduk itu pada awalnya hanya sebesar 2 cm sebelum secara tiba-tiba ‘patah’ enam bulan lalu ketika anak lelakinya membasuh rambut Xiuzhen.
Sejak itu, tanduk tersebut tumbuh dengan agak cepat sehingga mencapai ukuran 12 cm panjang dan 5 cm lebar selain menyerupai tanduk haiwan sebenar.
“Adakalanya, tanduk ini amat sakit sehingga membuatkan saya terjaga dari tidur,’’ kata Xiuzhen.
Menurut anak lelaki Xiuzhen, Wang Zhaojun, ibunya mempunyai tahi lalat pada kawasan tanduk berkenaan tumbuh, kira-kira lapan tahun lalu.
Nenek itu kerap mengadu gatal pada tahi lalat berkenaan, membuatkan ahli keluarganya merawat penyakit tersebut dengan herba yang akhirnya pulih.
Keluarga Xiuzhen kemudiannya meneruskan penggunaan ubat herba berkenaan tanpa rasa ragu-ragu sehinggalah dua tahun lalu apabila satu ketumbuhan mula tumbuh di tempat tahi lalat itu.
Doktor menyifatkan, tanduk Xiuzhen boleh dibuang melalui pembedahan, namun bergantung kepada keadaan fizikalnya.
Kes Xiuzhen bagaimanapun bukanlah yang pertama berlaku di China kerana pada 2010, seorang wanita berusia 101 tahun juga mempunyai ketumbuhan menyerupai tanduk pada kepalanya, namun berita terkini mengenainya tidak diketahui.
No comments:
Post a Comment