BEIJING 17 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan di China selamat menjalani pembedahan baru-baru ini untuk membuang ketumbuhan di bahagian perutnya seberat 14.9 kilogram.
Mail Online dalam laporannya berkata, Han Bingbing, 11, berasal dari Heilongjiang, timur laut negara ini, menderita penyakit ketumbuhan itu sejak empat tahun lalu sehingga menyebabkan perutnya mengembang dengan besar.
Jelas laporan berkenaan, Bingbing terpaksa menjalani pembedahan tersebut apabila ketumbuhan itu hampir memenuhi perutnya menyebabkan organ dalamannya beransur-ansur rosak.
Tambahnya, syarikat kesihatan Xukecheng Health Care Corporation berjaya mengumpulkan derma sebanyak RM60,108 untuk menjayakan pembedahan berkenaan bagi membantu keluarga kanak-kanak itu yang mempunyai masalah kewangan bagi membiayai kos perubatan.
"Sebanyak dua ketumbuhan sebesar bola sepak berjaya dikeluarkan dari perut Bingbing dalam pembedahan selama lapan jam itu," menurut laporan itu.
Sebelum ini, beberapa klinik enggan merawat ketumbuhan Bingbing kerana tidak berani mengambil risiko yang boleh mengorbankan nyawa kanak-kanak terbabit berdasarkan keadaan ketumbuhannya yang kritikal.
Bagaimanapun, keluarga Bingbing berjaya menemukan sebuah hospital di Guangzhou, selatan China terletak kira-kira 4,023 kilometer dari rumahnya yang bersedia melakukan pembedahan itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_09/Ketumbuhan-seberat-149-kg-dibuang#ixzz37lhzr0ae
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment