Pages

Friday, July 18, 2014

UAE hantar kapal angkasa ke Marikh


DUBAI 17 Julai - Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai bangunan tertinggi di dunia merancang untuk menghantar kapal angkasa ke Marikh, pula dalam tempoh tujuh tahun lagi.
Negara yang kaya dengan minyak itu mengumumkan rancangan besar itu, hari ini untuk menghantar sebuah kapal angkasa yang tidak dipandu manusia itu ke angkasa pada 2021.
Pemerintah Dubai, Sheik Mohammed bin Rashid Al Maktoum berkata, perancangan itu membuktikan dunia Arab mampu memberi sumbangan dalam bidang sains demi kemanusiaan, walaupun banyak negara Asia Barat dilanda konflik.
"Kita merupakan sebuah wilayah yang bertamadun. Takdir kita sekali lagi ialah untuk meneroka, mencipta, membangunkan dan membina peradaban," kata Al Maktoum yang juga Naib Presiden UAE dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa tahun lalu, UAE telah mendesak negara-negara Liga Arab bagi membentuk sebuah agensi angkasa lepas Arab yang menyamai Agensi Angkasa Lepas Eropah.
Namun, kerajaan UAE tidak menyatakan jumlah yang akan dibelanjakan untuk program tersebut, sambil menambah kata, agensi angkasa lepas itu bertanggungjawab melaporkan kepada Kabinet dan berdikari daripada segi kewangan dan pentadbiran.
UAE berkata, kapal angkasa itu akan mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan dan terbang sejauh 60 juta kilometer ke Marikh, sekali gus menjadikan UAE sebagai salah sebuah daripada sembilan negara yang mempunyai program angkasa yang cuba mengembara ke planet merah tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_07/UAE-hantar-kapal-angkasa-ke-Marikh#ixzz37lhUbzZI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: