Oleh Norfaisal Jahuri
Melaka: Sikap bermurah hati segelintir masyarakat di negeri ini membolehkan pengemis terutamanya warga asing mampu mengaut sejumlah RM300 dalam tempoh satu jam sepanjang Ramadan ini.
Dengan ‘bermodal’ muka sedih sambil mendodoi anak, pengemis yang kebanyakannya wanita bertumpu ke kawasan bazar Ramadan untuk memperoleh ‘pendapatan’ mereka.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Zulyadain Limat berkata, pihaknya mengesan kegiatan mereka menjadikan kawasan tumpuan ramai untuk mengutip sedekah.
Katanya, menerusi pemeriksaan terhadap mereka yang ditahan, sejumlah wang mampu dikaut dalam tempoh singkat.
“Sikap murah hati di bulan Ramadan menyebabkan orang ramai mudah memberi wang kepada pengemis dengan beranggapan mereka adalah golongan asnaf.
“Warga asing dikesan bergerak secara berkumpulan di bazar Ramadan termasuk membiarkan kanak-kanak meminta sedekah,” katanya.
Zulyadain berkata, sejak awal Ramadan lalu, pihaknya sudah menjalankan 15 operasi termasuk tujuh operasi bersepadu membabitkan Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan polis.
Katanya, seramai 16 individu ditahan dan lapan daripadanya warga asing berusia tiga dan 60 tahun.
“Mereka mengambil kesempatan terhadap sikap murah hati rakyat dan kemakmuran ekonomi menyebabkan mereka mudah mendapat habuan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian pengemis yang ditahan masih berupaya untuk bekerja membabitkan usia antara 34 dan 45 tahun yang datang ke negeri ini dengan memberi alasan mencari pekerjaan.
Katanya, apabila ditahan mereka memberi alasan masih tiada pekerjaan dan terpaksa mengemis.
“Mereka menjadikan aktiviti mengemis sebagai ‘kerjaya’ kerana boleh mengaut hasil lumayan,” katanya.
Menurutnya, semua warga asing yang ditahan itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18
No comments:
Post a Comment