Pages

Saturday, August 11, 2012

Iran diserang musim luruh?




         
BAITULMAQDIS: Isu mengenai kemungkinan rejim Zionis melancarkan serangan terhadap Iran mendapat liputan meluas akhbar Israel semalam, sehari selepas Menteri Pertahanan, Ehud Barak berkata, isu itu menjadi semakin ‘penting.’

“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Barak berazam untuk melancarkan serangan terhadap Iran pada musim luruh,” bunyi tajuk muka depan akhbar paling laris, Yediot Aharonot.


Menurut dua penulis paling kanan akhbar itu, Nahum Barnea dan Shimon Shiffer, jika Netanyahu dan Barak akan memutuskan sendiri keputusan itu, mereka kemungkinan besar akan mengarahkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran dalam masa beberapa bulan lagi, pada musim luruh, sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

“Terdapat tanda yang jelas menunjukkan perdana menteri dan menteri pertahanan begitu berazam untuk mengambil keputusan berkenaan,” kata mereka.


Akhbar Haaretz dalam edisi hujung minggunya memetik seorang pegawai tidak dikenali sebagai memberi amaran, rejim Yahudi kini terdedah kepada bahaya lebih besar berbanding sebelum Perang Asia Barat 1967.


“Pedang di leher kita kini lebih tajam daripada pedang sebelum Perang Enam Hari,” kata pegawai itu kepada akhbar berkenaan.

Dia menegaskan, meskipun Amerika Syarikat komited untuk menghang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, Israel perlu bertanya pada dirinya sendiri, apa akan terjadi jika dia tidak bertindak.” Akhbar Maariv dalam muka depannya pula menyiarkan keputusan kajian pendapat yang menunjukkan 37 peratus rakyat Israel percaya Iran, jika memiliki senjata nuklear, akan menyebabkan berlakunya Holokos Kedua.” Netanyahu sebelum ini memberi amaran, senjata pemusnah besar-besaran jika dimiliki oleh Iran akan membawa kepada satu lagi pembunuhan besar-besaran.


Israel, satu-satunya kuasa nuklear yang tidak diiytiharkan di Asia Barat mendakwa program nuklear Iran mengancam kewujudannya dan enggan menolak tindakan ketenteraan bagi menghentikan aktiviti nuklear Republik Islam itu. - AFP

No comments: