JAKARTA 10 Ogos - Layanan buruk dan pencabulan hak asasi terhadap masyarakat Islam Rohingya di Myanmar kini mendapat perhatian ASEAN.
Pertubuhan negara-negara Asia Tenggara itu sedang menimbang untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi menamatkan penderitaan etnik itu.
Menurut Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan, pertubuhan serantau itu harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian konflik yang tercetus.
Ketegangan di negeri Rakhine di barat Myanmar itu memuncak pada Jun lalu dan kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) mendedahkan bahawa tentera Myanmar membunuh, merogol dan menahan ramai penduduk Rohingya selepas berlaku rusuhan kaum di wilayah itu.
Menurut HRW, jumlah etnik Rohingya yang menjadi pelarian kini mencapai 60,000 orang.
"Saya mencadangkan ASEAN harus menawarkan bantuan kemanusiaan, seperti yang pernah kita lakukan semasa Taufan Nargis empat setengah tahun lalu," kata Surin merujuk kepada Taufan Nargis yang melanda Myanmar pada Mei 2008 yang meragut 138,000 nyawa.
Menurut Surin, Malaysia dan Indonesia turut menawarkan bantuan secara langsung kepada penduduk Rohingya.
"Myanmar akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN pada 2014 dan tentu sekali negara itu akan menjadi perhatian, tentang bagaimana negara itu menangani masalah tersebut.
''Myanmar perlu merangka pelan damai bagi menyelesaikan krisis itu," kata Surin.
ASEAN, kata beliau, tidak boleh berdiam diri, tanpa mengambil sebarang tindakan bagi menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di wilayah itu sekarang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment