Pages

Thursday, August 9, 2012

China pindah 1.8 juta penduduk



Beratus-ratus penduduk mengharungi sebatang lebuh yang ditenggelami banjir di Marikina City, Metro Manila, semalam. - REUTERS
BEIJING 8 Ogos - Pihak berkuasa China, hari ini memindahkan lebih 1.8 juta penduduk ketika Taufan Haikui yang membawa hujan lebat melanda timur negara ini, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban.
Haikui yang merupakan taufan ketiga melanda China dalam minggu ini, melewati pekan Hepu di wilayah Zhejiang pada pukul 3.20 pagi waktu Malaysia, lapor Balai Cerap Meteorologi Wilayah.
Taufan tersebut membawa angin berkelajuan sehingga 150 kilometer sejam dan ombak setinggi 5 meter di pesisir pantai.
Akhbar tempatan Dushi Kuaibao melaporkan, dua penduduk maut di Shanghai selepas dihempap runtuhan.
Angin kencang turut menggegarkan buaian gergasi di Ningbo dan menerbangkan bumbung stadium di Jianxi, manakala lebih 1,000 pelancong terperangkap di puncak gunung di daerah Anxi.
Di Filipina pula, lebih 800,000 penduduk berdepan bencana banjir, ketika hujan terus melanda negara itu.
Menurut laporan meteorologi, hujan monsun yang melanda Filipina lebih seminggu lalu, mula reda malam tadi, namun 80 peratus bandar di negara itu ditenggelami air dan cuaca buruk dijangka berterusan.
Jumlah korban di Manila dan beberapa wilayah berhampiran adalah seramai 16 orang termasuk sembilan ahli keluarga yang maut ditimbus tanah runtuh.
Majlis Pengurusan Kawalan Risiko Bencana Kebangsaan berkata, hampir 250,000 daripada 800,000 penduduk mendapatkan bantuan di sekolah, gimnasium dan bangunan lain yang dijadikan pusat perlindungan.
Di sebalik bencana yang berlaku, Filipina mengarahkan para majikan agensi kerajaan dan swasta memulakan operasi perkhidmatan seperti biasa bagi mengenal pasti kerugian kerosakan dan pemulihan. - AFP/dpa

No comments: