KAHERAH: Dua puluh anggota militan ditembak mati di Sinai dalam satu serangan membabitkan helikopter bersenjata tentera Mesir, semalam.
Serangan udara itu dilancarkan beberapa hari selepas 16 askar Mesir terbunuh dalam serangan yang didakwa dilakukan kumpulan militan berkenaan.
Kejadian di Kampung Tumah, serangan pertama tentera Mesir di Sinai sejak beberapa dekad lalu, dilakukan ketika pasukan keselamatan berkumpul berhampiran Rafah di sempadan Gaza untuk apa yang mereka sifatkan sebagai konfrontasi penentuan dengan militan.
Seorang pegawai kanan tentera di Sinai yang enggan dikenali berkata, 20 militan terbunuh dalam serangan helikopter Apache dan askar dari Divisyen Infantri menyerbu Tumah.
Pegawai lain di utara Sinai pula melaporkan, serangan udara juga dilakukan terhadap bandar Sheikh Zuwayid, berhampiran Tumah.
Bagaimanapun, agensi berita rasmi, Mena, memberi butir berbeza mengenai bagaimana militan itu dibunuh.
“Pengganas menembak roket dan meriam serta mesin gan pada pesawat yang mengepung kawasan itu. Serangan itu bagaimanapun tidak kena sasarannya.
“Tentera darat kemudian melancarkan serangan dan membunuh beberapa militan,” lapor agensi berkenaan.
Sebelum itu, penyerang tidak kenali melancarkan serangan terhadap empat pos pemeriksaan keselamatan berhampiran bandar El- Arish.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, tiga anggota polis cedera dalam serangan itu. Serangan udara semalam dilakukan sehari selepas tentera mengadakan upacara pengebumian untuk 16 anggotanya yang terbunuh dalam serangan Ahad lalu.
Kejadian berlaku apabila kumpulan militan terbabit menyerang sebuah pangkalang kawalan sempadan dengan menggunakan mortar dan kemudian memandu sebuah kenderaan tentera memasuki Israel sebelum ia disekat oleh serangan helikopter tentera Zionis itu. - AFP
No comments:
Post a Comment