Pages

Thursday, August 9, 2012

Syria: Pemberontak undur dari Salaheddin



Bandar Salaheddin lengang dengan bangunan-bangunan yang rosak teruk akibat pertempuran antara tentera kerajaan dan Tentera Pembebasan Syria di tengah Aleppo, semalam. - REUTERS
ALEPPO, Syria 8 Ogos - Pemberontak yang menentang pentadbiran Presiden Syria, Bashar al-Assad berundur dari Salaheddin dekat sini yang menjadi medan utama pertempuran dengan tentera sejak beberapa hari lalu.
''Kami sudah berundur, keluar dari sini,'' kata seorang pemberontak kepada wartawan Reuters ketika mereka tiba di Salaheddin, hari ini.
Satu pos pemeriksaan yang dibina oleh pemberontak di situ sejak seminggu lalu juga telah tiada, lokasi itu ditinggalkan dengan bendera pembangkang dipacakkan di situ.
Letupan boleh didengari dengan tembakan pula dilepaskan ke arah bangunan-bangunan di kawasan tersebut.
Sumber keselamatan kerajaan Syria memberitahu stesen televisyen Lebanon, Al-Manar bahawa tentera kini mengawal daerah Salaheddin.
Helikopter kelihatan terbang mengelilingi sebuah balai polis yang masih dikawal oleh pemberontak, kira-kira satu kilometer dari Salaheddin.
Pemberontak pula dilihat menjerit melalui walkie-talkie ''Tentera sudah datang, tentera sudah datang''.
Seorang komander pemberontak, Abu Ali berkata, beliau menerima maklumat kereta kebal tentera telah memasuki Salaheddin.
''Saya hanya menerima sedikit maklumat kerana sistem komunikasi kini sangat teruk,'' katanya. - REUTERS

No comments: