Pages

Wednesday, June 20, 2012

Dua lelaki rogol wanita Rakhine dihukum mati

Penduduk Rohingya yang cuba menyeberangi Sungai Naf untuk lari daripada keganasan agama, di negeri Rakhine, Myanmar diusir oleh pengawal keselamatan Bangladesh di Teknaf, kelmarin. - AFP
YANGON 19 Jun - Sebuah mahkamah di Myanmar semalam, menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki yang terlibat dalam kes rogol yang mencetuskan keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine, barat negara ini.

Hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah di daerah Kyaukphyu, selatan Rakhine, menurut akhbar milik kerajaan, Myanma Ahlin.

Tiga etnik Rohingya ditahan selepas seorang wanita Buddha yang berusia 27 tahun dirogol dan dibunuh pada 28 Mei lalu, tetapi seorang daripada suspek telah membunuh diri dengan menggantung diri ketika dalam tahanan.

Kematian wanita itu mencetuskan insiden serangan membalas dendam di mana 10 etnik Rohingya diheret keluar daripada sebuah bas dan dipukul sehingga mati oleh perusuh Buddha pada 3 Jun lalu.

Insiden itu, bagaimanapun telah mencetuskan keganasan etnik dan agama antara penduduk Rakhine dengan etnik Rohingya di barat Myanmar itu sehingga menyebabkan 50 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Menurut Amnesty International, sebelum ini belum ada banduan di penjara Myanmar yang dijatuhkan hukuman mati sejak 1988.

Sementara itu, Bangladesh semalam menahan seramai 128 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine dan menyatakan akan menahan mereka untuk sementara waktu sebelum dihantar pulang.

Lebih 2,000 etnik Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh sejak tercetusnya keganasan di Rakhine awal bulan ini, tetapi kesemuanya telah dihantar pulang atau ditahan.

Menurut Bangladesh, sumber mereka sendiri terhad dan terpaksa menolak kedatangan etnik yang ditindas itu, walaupun digesa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya memberikan mereka status pelarian. - AGENSI

No comments: