Pages

Wednesday, June 20, 2012

Mesir bergolak lagi

KAHERAH: Kaherah bersiap sedia untuk mengadakan protes besar-besaran dengan sokongan Ikhwanul Muslimin pertubuhan yang diwakili calon presiden didakwa memenangi pilihan raya hujung minggu lalu bagi membantah tindakan tentera memperoleh kuasa baru.
Demonstrasi itu digerakkan beberapa kumpulan yang terbabit dalam kebangkitan rakyat Mesir pada Februari 2011 dan dirancang selepas junta tentera mengambil semula kuasa perundangan ekoran keputusan mahkamah membubarkan parlimen.

Langkah itu yang dibuat melalui deklarasi berperlembagaan turut menyediakan junta tentera kuasa mengenakan veto terhadap sebarang perlembagaan baru.
Pada masa sama, kekaburan turut membayangi keputusan pilihan raya presiden walaupun Ikhwanul Muslimin mendakwa calon mereka, Mohammed Mursi Isa al-Ayyat, mengatasi pencabarnya, Ahmed Shafiq, yang juga bekas perdana menteri pilihan Hosni Mubarak.

Media melaporkan, pengiraan undi menunjukkan Mohammed Mursi mendahului 51 peratus undi berbanding Ahmed Shafiq.

Akhbar liberal, Wafd, melaporkan Ikhwanul Muslimin dan junta tentera kini bersiap sedia untuk menguasai parlimen.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Gabungan Belia Revolusi menganggap tindakan junta tentera itu sebagai rampasan kuasa.

“Majlis tentera dengan rampasan kuasa haram mengukuhkan diri mereka dengan kuasa yang tidak pernah ada sebelum ini.
“Ia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf pilihan rakyat yang bercanggah dengan kemahuan mereka,” kata mereka. - AFP

No comments: