Pages

Wednesday, June 20, 2012

2 maut serangan udara Israel

Penduduk Palestin meratapi kematian dua rakan mereka yang maut akibat serangan udara Israel di utara Gaza semasa majlis pengkebumian mangsa di bandar Beit Hanun, Gaza City, kelmarin. - AFP
GAZA CITY 19 Jun - Dua lagi warga Palestin terbunuh semalam, ketika tentera Israel melancarkan serangan udara kedua di utara bandar Beit Hanun di sini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada empat orang.
Menurut satu kenyataan, dua mangsa yang terkorban itu dikenal pasti sebagai Jihad Abu Shbab, 23, dan Mohammed al-Zaanin, 25.
"Sekurang-kurangnya tiga cedera dalam serangan tersebut," kata pegawai perubatan di Hospital Kamal Edwan.
Serangan sebelum ini yang berlaku di timur Beit Hanun menyebabkan dua aktivis Jihad Islam terbunuh.
Israel mengesahkan serangan tersebut sambil menjelaskan ia disasarkan ke atas sekumpulan pejuang yang disyaki ingin melancarkan roket ke arah tentera negara itu.
Dalam perkembangan lain, sekumpulan penyerang yang tidak dikenali cuba membakar dan menconteng Masjid Tebing Barat pada awal pagi ini.
"Awal pagi ini, sekumpulan lelaki menceroboh masjid, memecahkan tingkap dan menyalakan api, namun penduduk tempatan menyedari akan hal itu dan sempat memadamkan kebakaran.
"Kumpulan itu turut menconteng dinding masjid dalam bahasa Hebrew menggunakan cat," kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Sheikh Datoun. - AFP

No comments: