GAZA CITY 13 Mac - Israel dan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin di Genting Gaza bersetuju mengadakan gencatan senjata bagi menghentikan keganasan selama empat hari yang telah meragut 25 nyawa rakyat Palestin.
Gencatan senjata yang dicapai menerusi perantaraan Mesir itu diumumkan oleh seorang pegawai keselamatan kanan Mesir di Kaherah, hari ini.
Menurut pegawai itu, kedua-dua pihak 'bersetuju menamatkan operasi semasa' dan mencapai perjanjian menyeluruh 'dengan masing-masing memulakan gencatan senjata komprehensif', manakala Israel memberi jaminan luar biasa untuk menghentikan 'pembunuhan politik'.
Gencatan senjata itu dijadual mula berkuat kuasa pada pukul 1 pagi ini (7 pagi waktu Malaysia) dan berdasarkan pengalaman lalu, perjanjian gencatan senjata sebelum ini selalunya bermula dengan goyah.
"Persetujuan sudah dicapai dan pada waktu ini kecenderungan adalah ke arah menenteramkan keadaan dan nampaknya pusingan pertempuran kali ini sudah berlalu, melainkan berlaku perkembangan pada saat-saat akhir," kata Menteri Pertahanan Awam Israel, Matan Vilnai kepada Radio Israel.
Seorang pegawai Palestin yang mengikuti rundingan itu berkata, puak-puak Palestin komited terhadap gencatan senjata itu tetapi mereka menunggu untuk melihat tindak balas daripada Israel.
Beliau merujuk kepada kumpulan Jihad Islam dan Jawatankuasa Perjuangan Popular (PRC), dua kumpulan yang paling aktif terlibat dalam pertempuran.
Kelmarin, pergerakan Hamas yang memerintah Genting Gaza mengesahkan Mesir sedang mengusahakan perjanjian gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran.
Pejuang Hamas sendiri tidak terlibat dalam pertempuran dan kelihatan mahu mengelakkan konflik lebih besar dengan Israel.
Rejim Zionis mendakwa pejuang Palestin di Gaza melancarkan kira-kira 200 roket ke arah selatan Israel sejak pertempuran meletus pada Jumaat lalu selepas Israel membunuh seorang pemimpin pejuang Palestin yang dituduh berkomplot untuk menyerang Israel dari wilayah Mesir. - REUTERS
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment