Pages

Wednesday, March 14, 2012

Pembunuh Nurul dikenal pasti

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:



Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (kiri) mengucapkan takziah kepada Roselyn Alan, ibu kepada kanak-kanak dibunuh kejam Nurul Nadirah Abdullah di rumahnya di Masai, Johor Bahru, Johor, semalam. - utusan/Nasirruddin Yazid


JOHOR BAHRU 13 Mac - Sambil menyifatkan pelaku jenayah yang membunuh Nurul Nadirah Abdullah (gambar) sebagai berhati binatang, polis hari ini bertekad untuk memastikan mereka yang melakukan perbuatan itu diseret ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat.
Ini kerana polis telah mengenal pasti penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lima tahun itu dan akan segera menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan suspek yang tidak berhati perut dan akan memastikan mereka yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.
Menurut beliau, polis kini menunggu beberapa laporan daripada Jabatan Kimia dan beliau juga telah mengarahkan timbalannya, Datuk Ismail Yatim untuk melengkapkan siasatan bagi diserahkan segera kepada DPP.
"Individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak ini sangat kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusiaan menyeksa insan kerdil yang tidak berdosa.
"Suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin. Saya telah mengarahkan Ismail yang mengetuai pasukan khas untuk menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau dan isteri, Datin Bibi Zakiah Meraslam yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor sebelum itu mengunjungi keluarga Nurul Nadirah atau Dirang di rumah mereka di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Mohd. Mokhtar berkata, polis setakat ini sudah menahan empat suspek termasuk seorang wanita berusia antara 30 dan 40 tahun dan tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis 'methamphetamine' dan 'ice'.
"Dua daripada tiga suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah meminta bantuan Polis Kelantan untuk mengesan dan menghantar individu yang menghantar satu khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada ibu mangsa.
Pada 8 Mac lalu, Roselyn menerima SMS ugutan yang meminta beliau menyerahkan RM10,000 di satu tempat di Kota Bharu, jika mahu Dirang dibebaskan dengan selamat.

'via Blog this'

No comments: