Imam maut cuba padam api
2012/03/14
BRUSSELS: Satu kebakaran yang disengajakan di sebuah masjid di bandar Anderlecht berdekatan ibu negara Belgium, Brussels, malam kelmarin menyebabkan imam masjid maut kerana lemas terhidu asap.
“Seorang lelaki bersenjata pisau dan kapak dilihat masuk ke masjid itu sebelum mencurah petrol yang menyebabkan kebakaran berlaku dan mengancam penghuni rumah ibadat itu,” kata jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Brussels, Jean-Marc Meilleur.
Akhbar Le Soir berkata, imam itu berusia 47 tahun dan agensi berita mendedahkan namanya sebagai Syed Alizaidi yang maut ketika cuba memadamkan api.
“Imam masjid cuba memadamkan api bersama seorang lagi jemaah tetapi gagal kerana api sudah terlalu marak. Mereka cuba keluar menggunakan pintu di tingkat atas tetapi hanya seorang yang dapat keluar,” kata seorang pekerja masjid, Azzedine Laghmich.
Seorang suspek beragama Islam dipercayai bertanggungjawab atas serangan itu sudah ditahan. Suspek memberitahu pihak berkuasa dia dilahirkan pada 1978 tetapi nama dan usianya tidak dapat disahkan kerana tidak membawa sebarang dokumen pengenalan.
Meilleur mendedahkan, penyerang ditahan jemaah masjid di sebuah bilik yang dikunci sebelum diserahkan kepada anggota keselamatan.
Jurucakap polis, Marie Verbeck, berkata tiada orang lain yang dicari pihak berkuasa berhubung kejadian berkenaan. Polis belum mendedahkan motif serangan suspek meskipun ada laporan menyatakan penyerang bertindak membakar kerana penganut Syiah yang menguruskan masjid itu.
Laporan lain menyatakan, ramai datang ke masjid itu dan berjaya memadamkan api di ruang bawahnya selepas nampak kebakaran berlaku sebelum menemui mayat imam di tingkat atas.
Menteri Dalam Negeri Belgium, JoĆ«lle Milquet ketika mengulas mengakui terkejut dengan kejadian itu dan mengutuk serangan sekeras-kerasnya. – Agensi
No comments:
Post a Comment