Pages

Saturday, January 14, 2012

Degil Katie berbaloi


KATIE (kiri) bersama Vanessa menceritakan pengalaman mereka dalam program This Morning terbitan stesen televisyen ITV di Britain, semalam.
KATIE (kiri) bersama Vanessa menceritakan pengalaman mereka dalam program This Morning terbitan stesen televisyen ITV di Britain, semalam.


LONDON: Ketika Katie Newell berusia 15 bulan, dia didapati menghidap penyakit berpunca daripada ketumbuhan di bahagian atas tubuhnya.
Keadaan itu menyebabkan Katie tidak mampu makan atau minum dengan sempurna, manakala ibu bapanya diberitahu, kanak-kanak itu mungkin tidak dapat hidup lebih daripada lima tahun.

Bagaimanapun, keberanian Katie membolehkan dirinya mengatasi masalah itu dan selepas menjalani beberapa pembedahan di Amerika Syarikat, dia baru saja meraikan ulang tahun kelahiran ke-18.
Bercakap dalam rancangan This Morning terbitan ITV semalam, remaja dari Chelmsford itu berkata, zaman kanak-kanaknya sangat sukar kerana menghidap neurofibromatosis yang menyebabkan tumbesarannya terganggu.

“Sukar bagi saya kerana semua kanak-kanak akan berbisik-bisik mengenai saya di jalanan,” katanya.

Menurut Katie, ketumbuhan berhampiran paru-paru paling menyulitkannya, sehingga dia akan kepenatan hanya selepas berjalan atau menaiki tangga.
Kadang-kadang, katanya, keadaan dirinya menimbulkan ketakutan kepadanya.

“Seperti ketika berusia 14 tahun, saya diberitahu mungkin akan mati akibat pembedahan membuang ketumbuhan itu,” katanya.
Neurofibromatosis adalah kecacatan genetik yang menyebabkan ketumbuhan dan menjejaskan sistem saraf. Biasanya ia tidak berbentuk kanser tetapi boleh menekan organ seperti paru-paru serta menjadikan penghidapnya pekak.

Doktor lazimnya hanya akan membuang ketumbuhan itu jika ia mengancam nyawa pesakit.

Bagaimanapun, kadang-kadang ketumbuhan itu boleh berulang selepas dibuang.

Ibu Katie, Vanessa, berkata selepas anaknya melepasi usia lima tahun, dia memutuskan untuk melakukan sesuatu.

Mengaku turut mengalami neurofibromatosis ringan, Vanessa berkata, dia tidak mahu sekadar berdiam diri dan membiarkan Katie meninggal dunia akibat penyakit itu.

“Justeru, kami mengumpul wang dan pergi ke AS untuk menjalani pembedahan di sana.

“Walaupun mereka memberitahu ada risiko untuk mati, pakar di situ juga memberi kami pilihan,” katanya.

Menurut Vanessa, mereka “bernasib baik” kerana Katie remaja yang “degil.” Menurut Vanessa, Katie sedar dia perlukan bantuan berbanding kanak-kanak sebayanya yang lain.

“Ketika kanak-kanak lain ke kedai, Katie menunggu teksi untuk membawanya pulang,” katanya.

Bagaimanapun, penerima dua anugerah kepujian kanak-kanak itu bertekad mahu meneruskan pembelajarannya dan menjadi penulis.

Kata Vanessa, bagi Katie, penyakit itu tidak pernah melemahkan semangatnya.

“Katie selalu berkata: Saya ada neurofibromatosis tetapi neurobiromatosis tidak akan menewaskan saya,” katanya. - DM
myMetro | Degil Katie berbaloi:

'via Blog this'

No comments: