Pages

Saturday, January 14, 2012

Zardari tenang, Gilani bimbang

ISLAMABAD: Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari tidak bimbang mengenai masa depan politiknya sekalipun menghadapi persoalan baru sekembalinya daripada lawatan ke Dubai semalam, sama ada beliau dipaksa melepaskan jawatan, kata jurucakapnya.

Laporan lain pula mengatakan, Perdana Menteri, Yousuf Reza Gilani menelefon Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Pakistan, Adam Thomson bagi menyatakan kebimbangannya bahawa tentera akan melakukan rampasan kuasa serta meminta sokongan London kepada pentadbirannya.
Zardari menghadapi tekanan semakin kuat daripada pihak tentera selain Mahkamah Agung untuk menamatkan pemerintahan kerajaan pimpinannya sebelum penggal berakhir pada 2013.
Di tengah-tengah krisis, Zardari menaiki pesawat ke Dubai pada Khamis lalu selama sehari untuk lawatan peribadi menghadiri perkahwinan, kata jurucakapnya lagi.

Bulan lalu, pemimpin itu ke Dubai untuk menjalani rawatan perubatan yang mencetuskan khabar angin yang beliau di ambang mahu melepaskan jawatannya. Pemergiannya ke Dubai di tengah-tengah krisis meningkatkan persoalan walaupun pada masa ini spekulasi lebih sederhana.

Beliau pulang awal semalam, kata jurucakap Farhatullah Babar. Sama ada Zardari bimbang dengan masa depan politiknya, Babar berkata, “Tentunya tidak. Mengapa beliau perlu gusar? Beliau selesa dan berada dalam keadaan baik sepanjang masa.”

Parlimen Pakistan bersidang semalam untuk mengundi usul menyuarakan sokongan kepada kerajaan.
Tentera yang sudah empat kali merampas kuasa dalam sejarah Pakistan dan masih dipercayai sebagai penjaga sebenar kepentingan negara itu, tidak pernah menyukai Zardari.

Kemudian ketegangan meningkat selepas satu skandal tercetus akhir tahun lalu, membabitkan sekeping nota tanpa tandatangan dihantar ke Washington meminta bantuan menghalang rampasan kuasa tentera berikutan serbuan komando Amerika yang membunuh Osama bin Laden, menyebabkan tentera dan kerajaan bertelingkah.

Suruhanjaya Mahkamah Agung masih menyiasat hal itu yang secara teori boleh menjatuhkan Zardari.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membuka penyiasatan rasuah Zardari sejak bertahun dulu. Kerajaan enggan. Awal minggu ini, mahkamah berkata pihaknya akan memecat Zardari dan Gilani berikutan kes itu. Sesi penghakiman oleh hakim diadakan Isnin depan.

Perkembangan dalaman Pakistan ini menyusuli berita mengatakan bekas pemimpin Pervez Musharraf bakal pulang lewat bulan ini.

Sejarah Pakistan menunjukkan tentera berjaya merampas kuasa dan campur tangan proses demokrasi oleh mahkamah dan tentera adalah sebab utama masalah negara ketika ini.

Negara senjata nuklear berdepan dengan masalah utama antaranya berdepan dengan kejatuhan ekonomi, ancaman al-Qaeda dan pemberontakan Taliban. – AP/Agensi
Berita Harian Online | Zardari tenang, Gilani bimbang:

'via Blog this'

No comments: