MANDY menunjukkan kesan bengkak dan nanah akibat suntikan
uri kambing biri-biri pada punggungnya di Pejabat Biro
Pengaduan Awam (MCA), Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
|
KUALA LUMPUR - Impian seorang pengurus akaun sebuah syarikat yang mahu kulitnya sehalus kulit bayi bukan saja tidak menjadi malah wanita itu terpaksa menanggung sakit sehingga meninggalkan parut pada punggung kanannya.
Bukan sekadar itu, mangsa Mandy Chong, 35, juga merasa tertipu kerana dalam tempoh menerima rawatan kecantikan itu dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar lebih RM15,000.
Kos tersebut termasuk kos dua kali pembedahan bagi membuang ketulan kesan suntikan plasenta (uri) kambing biri-biri dan membeli ubat-ubatan bagi menghilangkan rasa sakit dan memulihkan jangkitan kuman dalam sel kulit punggung Mandy di sebuah hospital swasta.
Rawatan kosmetik menggunakan kaedah menyuntik formula uri kambing biri-biri dilakukan Mandy di sebuah pusat kecantikan di Kota Damansara di sini bermula 15 Mei 2011 sebelum menyedari kesan buruk akibat suntikan itu pada 5 Ogos 2011.
Mengimbas sebelum kejadian, Mandy berkata, dia yang mahu kulit halus mula terpengaruh untuk melakukan rawatan mencantikkan kulit dengan pakej suntikan uri kambing biri-biri ketika mengunjungi pameran di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Produk uri kambing biri-biri itu didakwa dari New Zealand.
Selepas mengunjungi pusat kosmetik itu, Mandy yang berunding dengan seorang pakar kecantikan di situ ditawarkan supaya melakukan suntikan uri kambing biri-biri bagi mendapat kulit yang mulus.
Katanya, dia yang teruja kerana bakal mendapat kulit cantik bersetuju menandatangani satu dokumen sebagai tanda setuju dengan terma rawatan sebelum membayar RM8,180 bagi keseluruhan proses menyuntik uri kambing biri-biri.
-kosmo
No comments:
Post a Comment