HULU SELANGOR - Seorang eksekutif pemasaran di Utusan Media Sales Sdn. Bhd. (UMES) maut selepas kereta yang dinaiki bersama seorang rakan terlibat dalam kemalangan di sini malam kelmarin. Kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 401.8, Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini mengorbankan Shakeera Hani Aznan, 26, manakala pemandu kereta pula hanya cedera ringan. Ketika kejadian, mangsa bersama rakan sekerjanya, Abd. Salimi Abd Halim, 31, dalam perjalanan menghala ke ibu negara selepas menghadiri perkahwinan rakan Shakeera Hani di Langkawi. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila tayar hadapan kereta Proton Inspira berwarna putih milik Abd. Salimi pancit.
Jelas beliau, keadaan tersebut menyebabkan kereta yang dipandu Abd. Salimi hilang kawalan dan terbabas. "Kereta tersebut kemudiannya melanggar penghadang dan berpusing beberapa kali di atas lebuh raya tersebut. "Ekoran itu, Shakeera Hani yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar ke dalam gaung berhampiran sedalam 10 meter," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Kata beliau, mayat mangsa ditemui di dalam semak dengan kesan cedera parah di kepala. Jelas beliau, pemandu kereta terbabit pula hanya mengalami luka kecil. "Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Alaric Aznan memberitahu, dia mengetahui kejadian yang menimpa adiknya pada pukul 4 pagi dan bergegas ke HKKB. "Dia tinggal bersama saya sekeluarga dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik sebelum meninggalkan kami," katanya. Jenazah mangsa dibawa ke Masjid Al Tawqa di sini untuk disembahyang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur semalam. Turut hadir pada majlis pengkebumian itu ialah Abd. Salimi. Dia bagaimanapun enggan ditemubual. Dalam pada itu, Pengurus Iklan akhbar Kosmo!, Stella Abdullah pula berkata, Shakeera Hani yang bertugas di UMES pada Mac lalu merupakan seorang pekerja yang berdedikasi.
No comments:
Post a Comment