JERICHO (Tebing Barat): Kenyataan Mitt Romney bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel sama sekali tidak boleh diterima, kata pemimpin kanan Palestin, semalam, ketika menyatakan kritikan kerasnya ke atas calon presiden dari Republikan itu.
Pembantu Presiden Palestin, Saeb Erakat, berkata kenyataan dan dasar Romney itu akan mendorong wilayah Timur Tengah ke arah “ekstremis” serta bercanggah dengan polisi Amerika Syarikat selama ini. “AS memiliki kepentingan di rantau ini dan ia mempunyai 57 kedutaan di negara Arab dan Islam.
“Saya tak fikir mereka akan mengorbankan segala-galanya untuk membuat kenyataan sebegitu,” katanya. Kelmarin, Romney dalam lawatannya ke Baitulmaqdis berkata, bandar raya itu adalah ibu negara Israel dan akan mencadangkan Kedutaan AS dipindahkan ke situ jika dia memenangi pilihan raya presiden nanti.
Kebanyakan pegawai Palestin mengekalkan sikap menutup mulut sepanjang tempoh lawatan Romney ke rantau itu.
Romney juga mengelak daripada bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. AS menjadi broker utama dalam usaha komuniti antarabangsa mencari perdamaian di Palestin melalui penubuhan negara melalui rundingan dengan Israel.
Palestin enggan menimbulkan masalah besar dengan usaha itu, termasuk memberi kenyataan negatif terhadap Romney.
Bagaimanapun, komennya kelmarin menimbulkan bantahan keras di Palestin. - AP
No comments:
Post a Comment