Pages

Tuesday, July 31, 2012

Tentera Syria gagal tawan Aleppo



DAMSYIK 29 Julai - Tentera Syria yang menggunakan senjata berat termasuk meriam, kereta kebal dan helikopter masih gagal menawan semula daerah-daerah di bandar Aleppo yang dikuasai pemberontak, selepas serangan dilancarkan semalam.
Menurut aktivis, pemberontak masih menguasai daerah-daerah tersebut, sekali gus menyifatkan kumpulan itu berjaya mematahkan serangan awal tentera kerajaan.
Masyarakat antarabangsa meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku pembunuhan beramai-ramai di bandar yang dihuni oleh tiga juta penduduk tersebut, tetapi mengakui hanya sedikit yang boleh mereka lakukan untuk menghentikan pertumpahan darah di Syria.
Pemberontak dilaporkan masih menguasai kira-kira satu pertiga daripada daerah-daerah di Aleppo, terutamanya di utara dan timur kawasan penempatan Sakhour serta bahagian barat dan selatan, sejak mereka mula menggempur bandar terbesar di Syria ini, seminggu lalu.
Pertempuran sengit berlaku di daerah Bab al-Hadid, Zahraa, Arkub dan Kem al-Hindrat ketika letupan kedengaran dan pesawat pejuang terbang pada paras rendah, menurut pertubuhan Pemantau Syria Bagi Hak Asasi Manusia.
Helikopter tempur turut berlegar di ruang udara di daerah Saif al-Dawla dan Salaheddin, tempat pemberontak berjaya mematahkan serangan tentera darat yang turut disokong oleh kereta kebal, semalam.
Di bandar Homs, tengah Syria, satu pertempuran tercetus antara tentera dan pemberontak berhampiran ibu pejabat polis dan menyebabkan seorang terbunuh.
Berhampiran ibu negara Damsyik pula, tembakan penembak tepat mengorbankan seorang penduduk awam di pekan Irbin, manakala dua lagi maut dalam bedilan di wilayah Idlib.
Keganasan semalam menyebabkan 168 orang terkorban terdiri daripada 94 orang awam, 33 pemberontak dan 41 tentera, menurut pertubuhan Pemantau Syria.
Lebih 20,000 orang telah terkorban sejak tercetusnya kebangkitan rakyat di Syria pada Mac tahun lalu. - AFP/ AGENSI

No comments: