Penunjuk perasaan di Istanbul turut mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh rejim Assad, kelmarin.
Penunjuk perasaan di Istanbul turut mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh rejim Assad, kelmarin.
ABU DHABI - Ketua Majlis Kebangsaan Syria (SNC), kelmarin menegaskan Presiden Bashar al-Assad perlu dibicarakan di atas kekejamannya selepas lebih setahun negara itu bergolak dan tidak layak mendapat perlindungan politik pada masa hadapan.

Semasa sidang media di Abu Dhabi itu, Abdelbaset Sayda turut menuntut mana-mana pihak memberikan bantuan bekalan senjata kepada mereka.

"Saya berharap, saudara kami di seluruh rantau Arab akan menyokong SNC dan Tentera Pembebasan Syria (FSA)," katanya.

Sayda turut memaklumkan SNC akan mengadakan perbincangan untuk menubuhkan kerajaan peralihan dengan kumpulan pemberontak yang kini  telah menawan kebanyakan bandar utama di Syria.

Menurutnya, SNC juga bercadang untuk melantik pengganti Assad yang telah berjuang secara habis-habisan sejak bermulanya kebangkitan revolusi rakyat tercetus pada Mac tahun lalu.

Difahamkan, SNC kini sedang mengkaji keberkesanan terhadap penubuhan kerajaan peralihan yang kukuh dan mampu mengambil alih pemerintahan rejim Assad selepas beliau digulingkan.