KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menganjurkan beberapa mesyuarat untuk menggerakkan sokongan dan mengambil langkah praktikal untuk membantu masyarakat Rohingya beragama Islam di Myanmar, terutamanya yang menjadi sasaran kempen sistematik penghapusan etnik sejak lebih dua bulan lepas.

OIC merancang mengadakan mesyuarat berkenaan di peringkat negara-negara Islam dan antarabangsa di beberapa ibu negara negara Islam, menurut kenyataan OIC yang memetik sumber.

Jumaat lepas, OIC mengadakan mesyuarat dengan wakil dari 57 negara anggotanya di Geneva untuk menggariskan mekanisme bagi tindakan antarabangsa untuk mencari penyelesaian terhadap krisis yang dihadapi masyarakat  Rohingya.

Mesyuarat di Geneva itu turut membincangkan masalah yang dihadapi untuk menghantar delegasi pencarian fakta ke Myanmar. Ia juga menegaskan pentingnya untuk membenarkan duta-duta negara anggota OIC memasuki Myanmar  untuk menilai keadaan penganut Islam itu di negara tersebut.

Masyarakat Rohingya pada asasnya adalah beragama Islam yang menetap di wilayah Arakan. Setakat 2012, 800,000 masyarakat Rohingya tinggal di Myanmar dan menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mereka merupakan kaum minoriti yang paling ditindas di dunia.
  
Menurut kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional Myanmar pada 11 Julai, sekurang-kurangnya 78 orang telah dibunuh sejak keganasan bermula, tetapi angka tidak rasminya ialah lebih 100 orang, malahan kira-kira 50,000 (angka lebih rendah dikeluarkan oleh kerajaan dan agensi-agensi PBB) hingga 90,000 orang dianggarkan kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata badan itu bersama-sama Persatuan Palang Merah Myanmar (MRCS) telah menyediakan keperluan asas tetapi bantuan amat diperlukan untuk masyarakat Islam  itu yang terperangkap dalam keganasan antara kaum di negeri Rakhine di barat Myanmar.   

Timbalan Ketua Operasi (Asia dan Pasifik) Anne Ryniker, berkata pasukan kecemasan ICRC terdiri daripada staf tempatan dan antarabangsa yang ditempatkan di Sittwe (ibu negeri Rakhine) telah memberikan bantuan teknikal, logistik  dan kewangan kepada MCRS sejak 16 Jun.

Sejurus selepas tercetusnya keganasan, para sukarelawan MRCS telah menghulurkan bantuan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal di 17 tapak utama yang termasuk bantuan kecemasan kepada kira-kira 2,000 yang  cedera, sokongan psikologi kepada lebih 1,500 orang dan juga bantuan air dan sanitasi, kata Ryniker dalam temubual yang disiarkan di laman web ICRC.

Katanya dua loji penulenan air didirikan untuk orang awam daripada kedua-dua kaum - sebuah di Sittwe dan sebuah lagi di kampung Thee Chaung - manakala air bersih diagihkan secara terus kepada lebih 8,000 orang di 116 tapak.  Barangan asas seperti set memasak, kain tarpaulin dan sabun juga diagihkan, katanya.

"Dengan saling bekerjasama,  ICRC dan MRCS setakat ini boleh bergerak tanpa dihalang dan tanpa diiringi tentera," jelas Ryniker. - Bernama