Pages

Monday, July 16, 2012

MP Afghan maut, bom letup majlis perkahwinan anak

Ahmad Khan Samangani
Ahmad Khan Samangani
KABUL - Seorang Ahli Parlimen bersama sekurang-kurangnya 17 yang lain terbunuh dalam letupan bom pada majlis perkahwinan anak perempuan pemimpin politik itu, di utara  Afghanistan, hari ini.
Ia kejadian kedua ahli politik terbunuh dalam letupan bom.
Semalam, ahli politik wanita terkenal, Hanifa Safi terbunuh dalam tragedi letupan bom di sebelah timur Afghanistan.
Hanifa Safi yang terkenal dengan perjuangan kaum wanita meninggal dunia selepas bom yang diletakkan pada keretanya meletup.
Dalam kejadian hari ini, seorang pengebom berani mati, yang menyamar sebagai tetamu majlis jamuan perkahwinan, meletupkan bom semasa mendakap Ahmad Khan.
Kejadian itu berlaku di wilayah utara Afghanistan, Samangan.
Ahmad Khan, Ahli Parlimen dari kalangan etnik Uzbek MP, mengadakan majlis jamuan perkahwinan di Aybak.
Jurucakap Taliban menafikan pihaknya terlibat dalam serangan terbaru ini.
“Kami menerima 13 mayat setakat ini, 60 lagi cedera,” kata ketua hospital di Samangan, Mansor Fayez kepada AFP.
“Mereka yang terbunuh termasuk Ahli Parlimen Ahmad Khan dan ketua risikan Samangan,” katanya lagi.
Jurucakap pasukan keselamatan di utara Afghanistan berkata, sekitar 20 orang terbunuh dan lebih 100 orang cedera dalam kejadian ini.
Ahmad Khan merupakan komander kumpulan militia Mujahiddin ketika perang Afghanistan pada tahun 1980-an.
Laporan media menyebut beliau terkenal sebagai penyokong Presiden Hamid Karza dan pesaing kepada Jeneral Abdul Rashid Dostum, seorang komander perang saudara yang berpengaruh di utara Afghnistan.
Ahmad Khan dipilih sebagai Ahli Parlimen tahun lalu, menggantikan salah seorang daripada beberapa wakil rakyat yang dipecat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas atas kesalahan penipuan semasa pilihan raya 2010.

No comments: