Pages

Monday, July 16, 2012

Lebih 200 maut bedilan tentera Syria

Imej diperoleh dari rakaman YouTube menunjukkan mayat-mayat lelaki, dipercayai maut akibat bedilan tentera Syria di perkampungan Treimsa, wilayah Hama, Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 13 Julai - Lebih 200 penduduk awam di perkampungan Treimsa, wilayah Hama terkorban semalam, apabila tentera Syria melancarkan serangan menggunakan kereta kebal dan helikopter.
Menurut Ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman, sebanyak 30 mayat penduduk kampung tersebut telah dikenal pasti.
Ketua sebuah kumpulan pemberontak yang berpangkalan di utara Syria, Abu Mohamad berkata, tentera rejim Presiden Bashar al-Assad mula menyerang Treimsa pada pukul 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia).
Serangan itu juga menyaksikan Tentera Pembebasan Syria (FSA) bertempur dengan tentera kerajaan.
Treimsa yang dihuni kira-kira 7,000 penduduk, kini lengang ekoran serangan tersebut.
"Kira-kira 30 kenderaan tentera memasuki Treimsa dan penduduk kampung tidak sempat melarikan diri ketika serangan dilancarkan," kata seorang aktivis, Ibrahim.
Agensi berita SANA melaporkan, pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak menyebabkan tiga askar kerajaan maut.
Sementara itu, ketua kumpulan pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria, Abdel Basset Sayda menyelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal menyekat pertumpahan darah yang terus berlaku.
"Perkara ini sangat memalukan buat Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab. Kami mahukan penyelesaian secepat mungkin agar tiada lagi penduduk Syria yang terkorban.
"Tentera rejim akan terus melancarkan serangan demi serangan jika tiada pihak yang menghalang," katanya. - AFP

No comments: