WASHINGTON 6 Jun - Jurucakap White House, Jay Carney semalam mengesahkan timbalan pemimpin al-Qaeda, Abu Yahya al-Libi telah terbunuh, tetapi tidak menyatakan bagaimana atau bila ia berlaku.
Carney berkata, perisikan Amerika Syarikat (AS) memperolehi maklumat 'yang membuatkan mereka percaya' Libi telah meninggal dunia.
Menurutnya, timbalan pemimpin kumpulan pengganas itu adalah antara 15 orang yang maut dalam serangan drone di kawasan Khaisu, Mir Ali, sebuah pekan utama di Waziristan Utara, Pakistan, kelmarin.
Beberapa laporan media termasuk New York Times yang memetik seorang pegawai AS yang enggan dikenali turut menyatakan Libi maut dalam serangan AS itu.
Libi adalah 'pengurus besar' al-Qaeda yang bertanggungjawab memantau operasi di Pakistan dan rangkaian kumpulan itu di rantau tersebut.
Carney berkata, kematian Libi itu sebahagian daripada usaha menjatuhkan kumpulan al-Qaeda dalam tempoh beberapa tahun ini selepas seorang lagi pemimpin kumpulan militan tersebut, Atiyah Abd al-Rahman dibunuh pada tahun lalu.
Menurutnya, kematian timbalan pemimpin al-Qaeda itu juga memberi 'tekanan baru' kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Ayman al-Zawahiri, yang menggantikan Osama bin Laden.
"Ini adalah tamparan besar kepada al-Qaeda dan meruntuhkan moral serta semangat kumpulan itu selepas dua pemimpinnya maut dalam tempoh kurang setahun," katanya. - DPA
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment