Kejadian jam 12.20 tengah hari itu berlaku selepas dua penjenayah itu meragut rantai seorang wanita di depan kompleks beli-belah Seremban Parade.Ketika kejadian, Mohd Salehuddin Nazaruddin, (gambar) 21, yang sedang membantu bapanya saudaranya menyelenggara kabel telekom di tepi jalan mendengar bunyi deruman kuat enjin motosikal sebelum terdengar jeritan wanita meminta pertolongan.“Saya kemudian nampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal cuba melarikan diri. Saya yang memang geram dan marah dengan peragut kerana membahayakan nyawa orang ramai, terus mengejar motosikal itu dan menarik baju pemboncengnya,” katanya.
Pembonceng motosikal itu kemudian terjatuh lantas Mohd Salehuddin memegang kedua-dua lelaki terbabit hingga berlaku pergelutan. Bagaimanapun, seorang daripada mereka berjaya memecut motosikal meninggalkan rakannya.
Beliau berkata, lelaki yang ditinggalkan itu kemudian cuba melarikan diri ke arah seorang penunggang motosikal lain yang menunggu kira-kira 50 meter dari situ.
“Ketika dia melarikan diri, saya segera menendang kakinya menyebabkan dia terjatuh lalu menangkapnya,” katanya yang kesal kerana orang ramai hanya melihat saja kejadian itu.
Penunggang motosikal yang menunggu itu kemudian memecut motosikal melarikan diri. Bagaimanapun, Mohd Salehuddin berpuas hati kerana dapat membantu memberkas penjenayah terbabit walaupun mengalami lebam pada tangan.
“Saya bersyukur kerana wanita berusia 40-an yang diragut itu mendapat semula rantainya yang terjatuh ketika pergelutan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment