Pages

Thursday, May 31, 2012

Pengasas WikiLeaks kena ekstradisi

PENYOKONG Assange  memegang poster di hadapan Mahkamah Agung Britain,  di London, semalam. - Foto EPA

PENYOKONG Assange memegang poster di hadapan Mahkamah Agung Britain, di London, semalam. - Foto EPA
LONDON: Mahkamah Agung Britain memutuskan semalam bahawa pengasas WikiLeaks, Julian Assange, boleh diekstradisi ke Sweden untuk disoal mengenai dakwaan melakukan jenayah seksual. 

Pada masa sama, hakim turut memberi tempoh dua minggu kepada Assange untuk mencari jalan membuka semula kesnya.
Hakim mahkamah tertinggi Britain menolak dengan majoriti 5-2 hujah Assange bahawa waran tangkap Eropah ke atasnya tidak sah.
Rayuan Assange bergantung kepada isu teknikal perundangan bukan dakwaan salah laku seksual atau tuduhannya bahawa Amerika Syarikat mendesak Britain dan Sweden bertindak ke atasnya. 

Peguamnya berkata, Waran Tangkap Eropah (EAW) tidak sah kerana ia dikeluarkan pendakwa raya dan bukan seorang hakim atau mahkamah seperti diperlukan di Britain. 

Pendakwa raya yang bertindak untuk Sweden berkata, negara berbeza memiliki prosedur perundangan berbeza yang dibenarkan mengikut format perjanjian EAW. 

Dua mahkamah rendah sudah menyokong ekstradisi Assange, seorang juru kempen anti-dokumen rahsia yang mengkritik dasar Washington. 
Pendakwa raya Sweden mahu menyoal Assange berhubung dakwaan merogol dan serangan seksual dibuat dua bekas sukarelawan WikiLeaks. 

Assange berjuang menentang ekstradisinya sejak mula ditahan di Britain pada Disember 2010. 

Bekas penggodam komputer itu mendapat perhatian antarabangsa pada 2010 apabila WikiLeaks mula mendedahkan rakaman video rahsia dan ribuan kabel diplomatik Amerika mengenai Iraq dan Afghanistan. 

Ia adalah tindakan membocorkan butir-butir dokumen sulit terbesar dalam sejarah Amerika. 

Meskipun tindakan itu menjadikannya seorang hero bagi aktivis yang menentang tapisan maklumat tetapi dia dianggap satu ancaman oleh Washington dan negara lain. 

Assange juga dikritik banyak pihak yang menuduhnya menyebabkan nyawa orang lain dalam bahaya dengan mendedahkan identiti mereka yang bercakap dengan diplomat dan ejen perisikan kerana ia menyebabkan mereka terancam di negara tertentu. 

Sejak itu, WikiLeaks semakin lenyap daripada tajuk muka depan akhbar berikutan kekurangan pendedahan sensasi selain sekatan syarikat kad kredit yang menyukarkan sumbangan kepada laman web pertubuhan itu. 

Reputasi Assange juga terjejas disebabkan dakwaan seks terhadapnya di Sweden hingga kehilangan ramai penyokong daripada kalangan selebriti. 

Sejak penahanannya, Assange dikenakan peraturan ketat di bawah syarat tahanan di sebuah rumah agam penyokongnya di timur England. Dia menjalani tahanan selama 540 hari tanpa didakwa. – Reuters 

No comments: