WASHINGTON 30 Mei - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) semalam mengusir diplomat tertinggi Syria ke Washington ekoran insiden pembunuhan beramai-ramai di negara itu minggu lalu yang mengorbankan lebih 100 orang.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland berkata, diplomat Syria, Zuheir Jabbour telah dipanggil dan diberi masa 72 jam untuk meninggalkan negara ini.
Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom turut mengambil tindakan sama bagi mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu, semalam.
"Kami mengambil tindakan ini sebagai tindak balas kepada pembunuhan beramai-ramai di bandar Houla yang mengorbankan kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah," kata Nuland kepada wartawan.
Dalam kenyataan berasingan, Nuland menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'serangan kejam yang melibatkan meriam dan kereta kebal', senjata yang hanya dimiliki oleh tentera rejim.
"Terdapat juga laporan yang menyatakan kebanyakan keluarga mangsa dibunuh di kediaman mereka oleh tentera rejim.
"Kami mahu kerajaan Syria bertanggungjawab ke atas pembunuhan kejam ini," katanya.
Jepun hari ini turut mengambil tindakan sama dengan mengarahkan Duta Syria ke Tokyo, Mohamed Ghassan Al Habash, meninggalkan negara itu.
"Ini adalah tindakan untuk menunjukkan Jepun membantah pembunuhan beramai-ramai itu dan pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan Syria," kata Kementerian Luar Jepun. - REUTERS/AFP
No comments:
Post a Comment