BOSTON: Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantu negara anggota melindungi infrastruktur nasional, memberi amaran mengenai bahaya virus Flame yang baru-baru menyerang komputer di Iran dan tempat lain di Asia Barat.
“Amaran ancaman siber ini adalah yang paling serius,” kata Marco Obiso, koordinator keselamatan siber Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) PBB di Geneva.
Amaran sulit itu akan memaklumkan negara anggota bahawa virus Flame adalah alat perisikan berbahaya yang berpotensi digunakan untuk menyerang infrastruktur kritikal, katanya ketika ditemuramah kelmarin.“Mereka perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya, menambah bahawa beliau percaya Flame kemungkinan dibangunkan untuk negara tertentu.
Amaran itu adalah isyarat terbaru satu era baru peperangan siber sudah bermula selepas serangan virus Stuxnet 2010 yang menyasarkan program nuklear Iran.
Amerika Syarikat secara terang-terang berkata buat kali pertama tahun lalu bahawa ia berhak bertindak menggunakan kekerasan jika menghadapi serangan siber.
Bukti menunjukkan virus Flame mungkin dibina satu atau negara yang melancarkan cecacing Stuxnet untuk menyerang program nuklear Iran pada 2010, menurut Kaspersky Lab, pembuat perisian keselamatan siber Russia yang menemui Flame.
“Saya fikir ia adalah ancaman lebih serius berbanding Stuxnet,” kata Obiso. Katanya, ITU akan membangunkan satu program untuk mengumpul data, termasuk sampel virus, bagi mengesan penyebaran Flame di seluruh dunia dan memantau sebarang perubahan dalam komposisinya.
Kaspersky Lab menemui Flame selepas ITU memintanya menyiasat laporan terbaru Tehran bahawa satu virus misteri bertanggungjawab atas kehilangan data besar-besaran dalam sesetengah sistem komputer Iran. – AFP
No comments:
Post a Comment