Pages

Sunday, April 1, 2012

Thailand bergegar



Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Adha Ghazali
bhnews@bharian.com.my
2012/04/01


  • Foto
    PENYELAMAT mengangkat mayat mangsa letupan bom di Yala, semalam. Gambar bawah kanan, PELANCONG asing diselamatkan dalam kejadian letupan gas di Hatyai.
  • Foto
    ANGGOTA bomba dan tentera Thailand memeriksa kawasan letupan bom di Yala, selatan Thailand.


  • Tiga letupan bom di Yala dalam tempoh 10 minit
  • Letupan gas perangkap penghuni hotel di Hatyai KANGAR: Tiga terbunuh, manakala 50 yang lain termasuk 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan di sebuah hotel yang menggegarkan Hatyai, Thailand, tengah hari semalam, tidak lama selepas tiga letupan bom mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain di Yala, selatan negara itu. Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin, yang dihubungi malam tadi mengesahkan 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan bom di bahagian dapur restoran McDonald’s di Tingkat 1 Hotel Lee Garden di tengah bandar Hatyai.
    Rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar kawasan letupan di Yala diminta berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak terperangkap dalam kejadian berkenaan. - Nazirah Hussin, Duta Besar Malaysia ke Thailand

    Katanya, ketika kejadian jam 1 tengah hari itu, kira-kira 50 berada di dalam restoran berkenaan, termasuk warga Malaysia, semuanya dipercayai pelancong.

    “Semua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu kini dimasukkan ke Hospital Hatyai. Pihak kedutaan sudah menghantar Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan ke bandar terbabit untuk mendapatkan maklumat dan membantu mangsa rakyat Malaysia.

    “Sehingga kini (jam 9.30 malam tadi) saya belum mendapat perkembangan terkini mengenai keadaan rakyat Malaysia atau punca letupan,” katanya. 
    Beliau juga mengesahkan sehingga lewat malam tadi tiada rakyat Malaysia cedera atau terkorban dalam tiga serangan bom di Yala.

    Nazirah turut meminta rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar kawasan letupan di Yala supaya berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak terperangkap dalam kejadian berkenaan.

    Sementara itu, Mohd Aini yang dihubungi malam tadi juga mengesahkan hanya 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan di Hatyai.

    “Bagaimanapun, identiti semua mangsa yang kini ditempatkan di Hospital Songkhlanagarind di Hatyai dan kampung asal mereka masih disiasat. Apapun, kita dapat sahkan bahawa tiga mangsa yang terbunuh setakat ini bukan rakyat Malaysia,” katanya.

    Mengulas kejadian itu, Mohd Aini berkata beliau difahamkan lebih 200 pengunjung hotel berkenaan terperangkap selepas letupan berlaku.

    “Apa pun, kita berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengenal pasti semua mangsa, terutama mengesan rakyat Malaysia yang terbabit,” katanya.
    Sumber polis Thai yang dihubungi berkata kejadian letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

    Di YALA, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 112 orang cedera dalam tiga letupan bom dalam tempoh 10 minit di bandar utama selatan Thailand ketika tengah hari apabila orang ramai sibuk membeli-belah.

    “Tiga butir bom meletup, yang pertama dalam sebuah kereta manakala letupan kedua serta ketiga adalah disebabkan bom yang disembunyikan dalam motosikal,” kata jurucakap tentera wilayah selatan, Pramote Promin.

    Beberapa rumah kedai berhampiran tempat letupan turut terbakar, manakala kereta dan motosikal yang diletakkan berhampiran rosak akibat letupan kuat.

    Kementerian Kesihatan Thailand berkata, sekurang-kurangnya 10 orang berada dalam keadaan kritikal kerana melecur teruk. 

    Seorang jurucakap polis Yala yang enggan dikenali berkata: “Bom berkenaan meletup dalam tempoh 10 minit”.

    Skuad bom dilihat memeriksa bangkai kereta yang musnah di tempat kejadian, manakala Polis Forensik menyiasat kejadian.

    Seorang anggota polis turut cedera dalam satu lagi letupan bom yang disembunyikan dalam motosikal di wilayah berjiran Pattani, kata polis.

    Pemberontakan di selatan Thailand, wilayah dengan majoriti penduduknya beragama Islam berlaku sejak 2004, meragut beribu-ribu nyawa.

    Minggu lalu, tentera mengakui menembak mati empat penduduk Islam ketika dalam perjalanan menghadiri sebuah majlis pengebumian berikutan tersalah sangka diserang militan, Januari lalu.

    Kejadian terburuk di wilayah berkenaan berlaku pada 25 Oktober 2004 apabila tujuh orang ditembak mati berikutan bantahan di bandar Tak Bai, manakala 78 yang lain lemas akibat terhimpit di dalam trak ketika dihantar ke pusat tahanan.
  • No comments: