2012/04/01
TENTERA Afghanistan mengiringi antara militan yang menyamar dengan memakai burqa di Mehterlam.
KABUL: Pemerintah tentera Amerika Syarikat di Afghanistan menyuruh sebahagian askar menjadi pengawal rakan mereka yang sedang tidur sebagai langkah keselamatan terbaru selepas diserang dengan pelbagai cara termasuk penggunaan burqa oleh militan Taliban.
Arahan itu dikeluarkan pemerintah tentera Amerika di Afghanistan, Jeneral John Allen selepas dua penasihat tentera ditembak mati askar tempatan yang sepatutnya bekerjasama dengan mereka di Kementerian Dalam Negeri.
Ketegangan juga meningkat baru-baru ini juga disebabkan tindakan Staf Sarjan Robert Bales membunuh lapan orang dewasa dan sembilan kanak-kanak Afghanistan.
Malah, di beberapa kementerian kerajaan, askar Amerika dibenarkan membawa senjata selain diarah memastikan meja mereka berdepan dengan pintu supaya tahu siapa yang datang, kata pegawai kanan.
“Kami sudah ambil langkah perlu bagi melindungi diri sendiri termasuk ketika sedang tidur dan sistem pertahanan dalaman di pejabat,” kata Allen.
Langkah itu diambil selepas kontroversi meletus berhubung tindakan askar Amerika membakar al-Quran dan bahan agama lain pada Februari lalu yang mencetuskan bantahan dan rusuhan anti Amerika.
Pada bulan itu juga dua penasihat tentera Amerika ditembak mati di pejabat. Ia memaksa 300 penasihat ditarik dari pejabat kementerian kerajaan Afghanistan.
Pada tahun ini, 16 anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mati ditembak askar dan polis Afghanistan yang memakai pakaian seragam tentera asing itu. Ia mewakili 18 peratus daripada 84 askar asing yang maut tahun ini di negara itu.
Daripada 80 askar NATO yang dibunuh sejak 2007 oleh anggota keselamatan Afghanistan, 75 peratus berlaku sejak dua tahun lalu.
Dalam dua kejadian berasingan, Isnin lalu, askar Afghanistan menembak mati seorang anggota tentera Amerika dan dua dari Britain.
Dalam satu daripada kejadian itu, dua askar Britain dibunuh seorang askar Afghanistan di depan pintu masuk markas bersama tentera dan awam di selatan negara itu.
Dalam kejadian kedua, askar Amerika ditembak mati di satu sekatan jalan di wilayah Paktika, timur Afghanistan. – Agensi
No comments:
Post a Comment