Pages

Wednesday, March 7, 2012

Wanita perdaya 17 mangsa

Wanita perdaya 17 mangsa - Melaka & NS - Sinar Harian:
Wanita perdaya 17 mangsa

AYER KEROH - Akibat tertarik dengan tawaran penjualan telefon bimbit berjenama pada harga murah, hasil rampasan kastam dan beberapa tawaran peluang perniagaan, 17 individu menanggung kerugian lebih RM100,000.

Berikutan itu, semua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, pada Januari lalu. Sinar Harian difahamkan, seorang wanita dalam lingkungan 30-an, berasal dari negeri ini begitu licik memperdayakan mangsa.

Salah seorang mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Nani, 48, berkata, dia langsung tidak mengesyaki niat jahat suspek kerana anaknya bersekolah di tempat sama dengan anak suspek.

“Sebab itulah saya tidak mengesyaki apa-apa. Suspek tawarkan peluang perniagaan telefon bimbit berjenama dengan harga yang cukup menarik.

“Akibat percayakannya, saya serahkan wang berjumlah RM500 kepada wanita terbabit di sebuah hotel, dan kemudian RM8,000 lagi dimasukkan ke dalam akauan bank menggunakan nama individu lain,” katanya.

Namun katanya, telefon bimbit yang sepatutnya diperoleh dalam tempoh seminggu tidak diterima.

“Saya cuba menghubunginya tetapi dia memberikan pelbagai alasan sehinggalah saya terpaksa merayu dia pulangkan semula wang yang telah diberikan. Bagaimanapun, dia hanya serahkan RM3,400 dan baki RM4,600 lesap begitu sahaja,” katanya yang tampil membuat aduan di Pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) bersama beberapa mangsa lain, semalam.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Tahir, 58, yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata, dia mula mengenali suspek apabila menggunakan khidmat teksinya untuk ke lokasi tertentu atas urusan perniagaan sejak Oktober lalu.

“Setelah kenal lebih dua minggu, suspek menyatakan hasrat mahu meminjam wang RM1,000 daripada saya dengan menjanjikan pulangan RM1,800 dalam tempoh dua bulan. Selang beberapa hari, suspek yang mengetahui kedudukan rumah saya datang menemui isteri saya pula dengan niat mahu meminjam wang dengan jumlah yang sama,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit turut menawarkan penjualan telefon bimbit dan dia berjaya mengumpulkan wang berjumlah RM8,000 daripada pembeli, terdiri daripada kenalan tetapi wang berkenaan lesap begitu sahaja.

Seorang lagi mangsa yang juga ibu tunggal, Lili (bukan nama sebenar), 47, mendakwa ditipu wanita sama dengan menggunakan namanya dalam urusan perniagaan membabitkan pelancongan dan penjualan telefon bimbit.

“Saya mula mengenali suspek pada Januari lalu menerusi salah seorang rakan di sebuah hotel. Suspek menggunakan telefon bimbit saya untuk memperdaya seseorang yang kononnya menawarkan pakej pelancongan dengan menjanjikan keuntungan lumayan termasuk pembelian telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, akibat perbuatan suspek, dia menjadi buruan semua mangsa yang dihubungi menggunakan telefon bimbitnya, membabitkan wang berjumlah RM10,000.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan menyediakan khidmat guaman bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan dan berharap, polis segera menjalankan siasatan.


'via Blog this'

No comments: