Pages

Wednesday, March 7, 2012

Filem tentera Uthmaniyah dapat sambutan hebat

Kosmo! Online - Dunia:


AFP
TIGA orang melihat poster filem Fetih 1453di sebuah pawagam di Ankara pada 27 Februari lalu.


ANKARA - Sebuah filem baharu, Fetih 1453 yang mengisahkan penaklukan tentera kerajaan Uthmaniyah ke atas kota Constantinople pada abad ke-15 mendapat sambutan hebat di Turki.

Kira-kira 3.4 juta orang telah menonton filem tersebut sejak ia ditayangkan pada 16 Februari lalu.

Filem Fetih 1453 itu menelan kos AS$17 juta (RM51.4 juta).

Menurut agensi yang mengumpulkan jumlah kutipan tiket, Box Office Turkey, seramai 3.4 juta orang telah menyaksikan filem tersebut dalam tempoh dua minggu pertama ia ditayangkan.

Agensi itu meramalkan filem tersebut akan memecahkan rekod penonton yang dicatatkan oleh beberapa filem lain di negara ini.

"Ia bukan kali pertama filem yang bertemakan penaklukan Constantinople ditayangkan tetapi Fetih 1453 ialah filem pertama yang menjalani penggambaran di Turki dengan bajet besar," kata seorang kakitangan di pejabat akhbar filem tersebut, Filiz Ocal.

Filem arahan Faruk Aksoy itu mengisahkan penaklukan kota Constantinople oleh tentera pimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dengan menewaskan tentera empayar kerajaan Kristian Byzantine.

Pada permulaan filem yang berdurasi 160 minit itu, tertera hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya ialah sebaik-baik tentera.

Constantinople kini dikenali sebagai Istanbul. - Agensi


'via Blog this'

No comments: