Pages

Friday, March 30, 2012

Wanita kena ragut dalam klinik

myMetro | Wanita kena ragut dalam klinik:

CHUKAI: “Bagi mengelak anak berusia tujuh bulan dan lima tahun cedera, saya terpaksa melepaskan beg berkenaan sebelum peragut terbabit melarikan diri bersama beg tangan saya dengan sebuah motosikal,” kata Nor Azra Saliha Zainal, 29, dari Kampung Bukit Mentok, di sini, semalam.
Mangsa berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di hadapan kaunter sebuah klinik homeopati di Jalan Air Putih, di sini untuk membuat bayaran rawatan anak berusia tujuh bulan kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Katanya, sebelum kejadian, dia menyedari seorang lelaki berbadan gemuk memakai baju putih dan seluar jean serta memakai topi keledar berpenutup muka penuh masuk ke klinik berkenaan sebelum menghampirinya dan melarikan beg tangan diletakkan di atas kaunter berkenaan.
“Saya menyangkakan lelaki terbabit masuk ke klinik itu untuk mengambil ubat kerana ketika masuk dia terus ke kaunter sebelum menarik beg duit yang berada di tangan saya selepas selesai membuat bayaran rawatan.

“Terkejut dengan tindakan lelaki terbabit, saya panik dan berusaha mempertahankan beg mengandungi wang tunai RM250 dan rantai emas milik anak serta dua bentuk cincin emas yang keseluruhannya bernilai lebih RM5,000 daripada dilarikan lelaki terbabit.

“Selepas beberapa saat berlaku tarik-menarik, saya kemudian terpaksa melepaskan beg itu kerana bimbang anak yang saya dukung terjatuh selain mengelak seorang lagi anak dicederakan lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Nor Azra berkata, lelaki terbabit ke klinik berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal ditunggangi rakannya yang menunggu di atas kenderaan itu di luar klinik berkenaan.

Menurutnya, dia yang panik gagal mengecam jenis dan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.
Katanya, orang awam yang berada di bengkel kereta berhampiran tempat kejadian cuba mengejar dua lelaki terbabit tetapi gagal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, mangsa membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Chukai, di sini, kira-kira jam 5.25 petang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana ragut.

'via Blog this'

No comments: