Pages

Monday, March 12, 2012

Siri realiti baharu AS tonjol komuniti Iran




PEMAJU perumahan, Sammy Younai (kiri) dan Farahan dalam satu adegan siri realiti baharu, Shahs of Sunset yang mula ditayangkan di AS semalam.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Siri realiti baharu, Shahs of Sunset yang menggambarkan kehidupan penduduk AS berketurunan Iran di sini mula ditayang di televisyen AS semalam.
Ia yang ditayangkan di saluran kabel Bravo, menceritakan tentang pelbagai personaliti penduduk berketurunan Iran termasuk seorang lelaki berusia 38 tahun, Reza Farahan yang menggambarkan dirinya sebagai aneh.
"Saya aneh kerana presiden yang memerintah negara asal saya menyatakan orang seperti saya tidak wujud," kata Farahan yang mengaku dia mengamalkan gaya hidup gay.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pernah memberitahu dalam satu persidangan di Universiti Columbia, AS pada 2007 bahawa di Iran tidak wujud golongan gay seperti di negara-negara Barat.
Mahmoud berkata demikian ketika menjawab soalan tentang kedudukan golongan gay di Iran.
Bravo dan Penerbit Eksekutif Shahs of Sunset, Ryan Seacrest menyatakan, siri realiti itu bertujuan memberi hiburan dan bukan mendidik penonton tentang sesuatu isu.
Jelasnya, Shahs of Sunset memberi kelainan kerana sebelum ini, jarang terdapat program televisyen mengenai kehidupan masyarakat Islam terutamanya dari Iran di AS.
Selain Farahan, program tersebut turut menampilkan ejen hartanah mewah, Mercedes Javid dan pemaju perumahan mewah di Beverly Hills, Sammy Younai.
Mereka yang menyertai musim pertama program realiti itu terdiri daripada orang Islam dan Yahudi.
- Agensi

No comments: