Pages

Friday, March 16, 2012

Presiden Perancis lawat masjid




Nicolas Sarkozy (kiri) meletakkan kalungan bunga bagi memberi penghormatan kepada veteran perang Islam yang mempertahankan Perancis di pusara di Masjid Besar di Paris, kelmarin. - AFP


PARIS 15 Mac - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat masjid utama di Paris, semalam, seminggu selepas pertikaian berhubung daging halal yang menyebabkan penganut Islam dan Yahudi di negara ini mendakwa mereka dijadikan alat politik dalam kempen pilihan raya Presiden negara ini.
Sarkozy menemui imam masjid itu dan pemimpin-pemimpin Majlis Islam Perancis sambil memberitahu mereka, 'beliau tidak mahu beberapa komuniti di negara ini terguris akibat kontroversi yang tidak sepatutnya wujud di negara ini sepanjang kempen pilihan raya'.
"Apa yang saya mahu katakan, komuniti Islam di negara ini mempunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan mereka seperti komuniti lain," katanya kepada wartawan.
Beliau turut merasmikan majlis peringatan terhadap tentera Islam yang terbunuh dalam mempertahankan negara ini yang diadakan di masjid itu.
Minggu lalu, isu mengenai imigran Islam dan amalan pemakanan Islam serta Yahudi mendapat perhatian dalam debat pilihan raya, sekali gus mengecewakan pemimpin-pemimpin agama.
Sarkozy dituduh bersikap lebih konservatif menjelang pusingan pertama pilihan raya Presiden pada 22 April ini bagi menarik pengundi yang tertarik dengan manifesto calon antiimigran, Marine Le Pen.
Penganut Islam dan Yahudi bersama-sama mengemukakan aduan bahawa mereka telah dijadikan alat politik dalam pilihan raya Presiden, selepas Le Pe, Sarkozy dan Perdana Menteri Francois Fillon mengkritik pengeluaran daging halal.
Perancis memiliki penganut Islam terbesar di selatan Eropah yang dianggarkan empat juta orang, manakala penganut Yahudi pula kira-kira 700,000 orang. - AFP

No comments: