Pages

Friday, March 16, 2012

Taliban bebas dua pelancong Switzerland

DAVID (kiri) bersama Widner melambai tangan sejurus tiba di Lapangan Terbang Islamabad selepas kedua-duanya dibebaskan.
DAVID (kiri) bersama Widner melambai tangan
sejurus tiba di Lapangan Terbang Islamabad
 selepas kedua-duanya dibebaskan.
 

MIRANSHAH: Militan Taliban membebaskan dua pelancong warga Switzerland yang diculik lebih lapan bulan lalu ketika membuat perjalanan menerusi kawasan barat daya di Pakistan, kata tentera semalam.

Olivier David Och, 31, dan Daniela Widmer, 28, diculik sambil diacu senjata di wilayah barat daya Baluchistan 1 Julai lalu. Van biru Volkswagen milik pasangan itu ditemui terbiar di daerah Loralai, kira-kira 170 kilometer ke timur ibu kota Baluchistan di Quetta.
“Mereka berada dalam keadaan selamat. Kami memindahkan mereka ke Peshawar,” kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas kepada AFP, merujuk kepada bandar barat laut bersempadan lingkaran puak tanpa undang-undang Pakistan di mana mereka diculik.
Taliban Pakistan mendakwa penculikan berlaku Julai lalu, menuntut bahawa mereka ditukarkan dengan Aafia Siddiqui, seorang saintis saraf Pakistan yang dijatuhi hukuman pada 2010 di New York kerana cubaan membunuh seorang ejen kerajaan Amerika Syarikat di Afghanistan. 

Pihak berkuasa Pakistan yang bercakap kepada AFP tidak menyatakan sama ada pasangan itu dibebaskan sebagai pertukaran untuk mendapatkan wang tebusan atau menerima sebarang tuntutan daripada Taliban Pakistan, yang dikaitkan dengan al-Qaeda. 

Kedutaan Switzerland enggan mengulas apabila dihubungi AFP. 

Oktober lalu, satu video pasangan itu muncul, jelas menunjukkan kedua-duanya dalam keadaan sihat, dikelilingi empat lelaki bersenjata bertopeng yang mengacukan raifal di kepala mereka. 
Pihak berkuasa Pakistan berkata, Taliban membebaskan pasangan itu di perkampungan Spilga di Utara Waziristan, kubu kuat paling digeruni milik Taliban dan al-Qaeda di lingkaran puak separa-autonomi Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan. 

“Mereka ditemui berhampiran sebuah pos pemeriksaan di jalan utama pada awal pagi,” kata seorang pegawai Pakistan yang enggan dikenali kepada AFP. 

Seorang lagi pegawai perisik mengatakan warga Switzerland itu kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke Peshawar. 

Timbalan Ketua Tehreek-i-Taliban Pakistan, Wali-ur Rehman, mengaku melakukan penculikan itu, memberitahu AFP Julai lalu bahawa mereka “berada di tempat selamat” dan “berada dalam keadaan sihat.” – AFP

No comments: